WALAUPUN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’ belum berakhir, sekumpulan pemuda dan pemudi menghabiskan masa mereka dengan beramai-ramai berkumpul mengadakan pesta di kondominium.
Akibat tindakan itu, polis menahan sebelah individu termasuk lima wanita malam tadi kerana disyaki menyertai pesta dadah di inap desa di Kompleks BM City, Bukit Mertajam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, dalam operasi 12.01 tengah malam itu, polis mengadakan pemerhatian selama 10 minit sebelum menyerbu unit kondominium berkenaan.
Beliau berkata, ketika serbuan, terdapat enam lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun berkumpul di ruang tamu.
BERITA BERKAITAN Parti liar, inspektor dan anggota polis ditahan positif dadah
“Pemeriksaan lanjut menjumpai sejumlah dadah antaranya 14 biji pil ekstasi, syabu seberat 4.7 gram (dan 4.7 g ketamin di atas meja.
“Kesemua dadah itu kemudian dirampas dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shafee berkata, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek lelaki positif dadah, manakala suspek wanita negatif.
“Kompaun turut dikeluarkan ke atas semua suspek yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Peraturan 17, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram