J2: J Retribusi kini tembusi Brunei! Sejarah buat filem aksi pertama Malaysia tahun ini apabila berjaya menembusi pasaran Brunei. Filem yang telah ditayangkan di platform penstriman Disney+ Hotstar itu menemui peminat di pawagam Brunei bermula 24 Jun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, industri filem dan pawagam kini berhadapan dengan cabaran paling getir di kala pandemik Covid-19 masih berleluasa.
“Ia penting untuk kami menyusun strategi dan mencari peluang bagi terus berhubung dengan penonton kami, sama ada di dalam mahu pun luar negara.
“Tayangan J2: J Retribusi dimulakan menerusi pelantar penstriman Disney+ Hotstar Malaysia pada 1 Jun lalu dan di Indonesia pada 2 Julai akan datang.
“Kini, Brunei merupakan negara pertama yang menayangkan J2: J Retribusi di lapan buah pawagam di sana. Kami amat teruja dengan kolaborasi strategik ini dan mengharapkan sambutan yang positif daripada kalangan peminat filem aksi di sana,” katanya.

J2: J Retribusi merupakan sekuel kepada filem J Revolusi yang ditayangkan pada 2017. Ia menampilkan dua pengarah berpengalaman dalam filem aksi iaitu Nazrul Asraff Mahzan dan Nazim Shah dengan gandingan bersama penulis skrip hebat iaitu Alfie Palermo, Azhar Amirulhisyam dan Anwari Ashraf.
Dibarisi pelakon tanah air popular iaitu Zul Ariffin, Amelia Henderson, Allahyarham Ashraf Sinclair, Datuk Rosyam Nor, Ainin Batrisya dan Chen YiMing, seorang pelakon dari China. Sudah pasti gandingan mantap ini bakal mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminat filem aksi di Brunei.
Filem ini mengisahkan Jay Zulkarnain (Zul Ariffin), seorang bekas ketua pegawai Unit Tindakhas(UTK) yang kini menjadi pengawal peribadi kepada usahawan terkenal Datuk Hashim (Rosyam Nor), melawan masa untuk menyelamatkan beliau dan anaknya Nadi (Ainin Batrisya), dari sekumpulan penjenayah yang diketuai oleh Taufiq (Allahyarham Ashraf Sinclair).
Jay, menjadi harapan mereka untuk menentang penjenayah bersama Chang (Chen YiMing) yang juga merupakan pengawal peribadi dengan pengurus hotel, Amy (Amelia Henderson) untuk memastikan semua tebusan dalam keadaan selamat.
Penggambaran J2: J Retribusi telah dijalankan pada 2019 di Johor Bahru, Johor. Ini merupakan gandingan pertama bagi Zul dan Allahyarham Ashraf, masing-masing memegang watak utama dan antagonis.
Komitmen dan lakonan mantap Allahyarham dalam filem terakhirnya pasti tidak mengecewakan peminat. Menariknya filem ini menyaksikan Zul dan Ashraf telah melakukan sendiri aksi lagak ngeri seperti membawa sendiri bot untuk babak penting dalam filem ini.
Komitmen dan fokus yang diberikan oleh kedua-dua pelakon hebat ini membuatkan filem ini lebih padat, seiring dengan filem antarabangsa.
Naskhah itu merupakan arahan pertama bagi kedua-dua pengarah, Nasrul dan Nazim yang sangat berpengalaman dalam industri produksi filem.
Nasrul yang juga dikenali sebagai ‘Uncle’ mempunyai pengalaman yang luas dari segi penataan seni filem-filem blockbuster Malaysia. Antaranya adalah J2: J Retribusi, Sangkar, Polis Evo 1 & 2, Bikers Kental 2 dan Tombiruo.
Manakala, Nazim pula antara penerima Anugerah Penyunting Terbaik Filem J Revolusi di Festival Filem Malaysia 2017 dan juga penyunting bagi filem J2: J Retribusi. Beliau juga telah menyunting filem pecah panggung seperti Polis Evo, Polis Evo 2 dan Tombiruo.
Sejak ditayangkan di platform penstriman Disney+ Hotstar Malaysia, filem ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Menerusi tinjauan di media sosial, rata-ratanya menyukai jalan penceritaan dan juga koreografi pertarungan yang padat dapat ditonjolkan dalam filem ini setanding dengan filem luar negara.
Filem wajib tonton ini juga mendapat bimbingan dari (Caspar) Keung Kam-Kui yang merupakan pengarah aksi dan juga sebagai koreografer pertarungan dari negara Hong Kong. Beliau terkenal dengan kerja-kerja koreografi yang sangat tajam dan ‘camerawork’ yang sangat mengagumkan. Antara filem luar negara yang mendapat sentuhan beliau adalah Coweb (2009), The Legend Is Born – Ip Man (2010) and Trivisa (2016).
Peminat juga pastinya akan terhibur dengan runut bunyi yang bertajuk Ralit, sebuah lagu rap yang dinyanyikan oleh Tuju dan Malik Abdullah. Bukan sekadar rap, Tuju memiliki vokal nyanyian yang cukup mengagumkan dengan tona suara serak.
Manakala, Malik dengan pesona tersendiri dalam menghidupkan sesebuah lagu. Ralit mendapat sentuhan gubahan dari komposer muda Ming dan Wolfy, sebuah lagu yang sangat jelas dan memiliki kekuatan baik dari segi melodi dan juga liriknya di mana ia sangat bertepatan dengan konsep filem yang padat dengan aksi.
Video muzik Ralit boleh ditonton di YouTube TV3 Malaysia dan boleh didengarkan di Spotify, Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, YouTube Music dan iTunes.
J2: J RETRIBUSI akan ditayangkan di pawagam-pawagam Brunei seperti berikut:
The Mall Cineplex, Gadong
Times Cineplex, Times Square
Times Cineplex, Tutong
Times Cineplex, Kuala Belait
Times Cineplex, Empire
One Cineplex
Aman Hills
The Grandstand Cinema

