KHAZANAH Nasional Bhd mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir sebagai Pengarah Urusan baharunya.
Menurut Khazanah dalam kenyataan, pelantikan Amirul Feisal sebagai Pengarah Urusan akan berkuat kuasa pada 16 Julai depan.
Kata Khazanah, Amirul Feisal bakal meninggalkan Maybank pada 15 Julai menggantikan Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang akan melepaskan jawatan apabila kontrak tamat bagi memberi tumpuan kepada usaha peribadi.
Shahril Ridza telah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Khazanah sejak 20 Ogos 2018.
“Lembaga Pengarah Khazanah mengalu-alukan pelantikan Amirul dan yakin berdasarkan kepakaran dan pengalaman beliau, Khazanah akan terus maju dalam usaha menyampaikan mandat yang diberikan.
“Lembaga Pengarah turut menyampaikan penghargaan kepada Shahril atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan, terutamanya kejayaan beliau mengetuai pelaksanaan strategi yang telah menyaksikan Khazanah berada dalam kedudukan kukuh serta mampu mengharungi persekitaran yang serba mencabar akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya.
BERITA BERKAITAN Hutang Khazanah susut 6% kepada RM43.1 bilion
Amirul Feisal, 51, merupakan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank sejak 1 Julai 2016.
Beliau menyertai Maybank pada tahun 2014 sebagai Ketua Kumpulan, Perbankan Global.
Sebelum itu, Amirul Feisal adalah Pengarah Urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) sejak tahun 2010 sehingga 2014 dan telah bertanggungjawab dalam usaha penyusunan semula serta transformasi perniagaan syarikat tersebut.
Amirul Feisal juga pernah dilantik sebagai Naib Presiden Eksekutif, Projek Khas Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada tahun 2010 di samping merupakan Pengarah Urusan, Ketua Perbankan Pelaburan Maybank Investment Bank Berhad.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Binafikir Sdn. Bhd. dan sebelum itu memegang beberapa jawatan peringkat pengurusan di Citigroup Global Markets (Asia) Ltd., Salomon Smith Barney, Schroders dan KPMG.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi (Perakaunan dan Kewangan) daripada London School of Economics.

