cidb
Penguatkuasa CIDB menampal Notis Larangan Memulakan Dan Meneruskan Kerja-Kerja Pembinaan keatas tapak bina yang didapati melanggar SOP MKN PKP 3.0 sambil diperhatikan oleh Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Zainora Zainal - Gambar FB CIDB

DUA lagi tapak pembinaan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan diarahkan menghentikan operasi serta-merta selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika penguatkuasaan Fasa 1 Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara.

Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), arahan dikeluarkan selepas tapak tersebut diperiksa dalam satu operasi bersepadu oleh Penguatkuasa CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CIDB WPKL) dan CIDB Negeri Sembilan.

Operasi di Kuala Lumpur dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Negara (JIM), Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerja (JKKP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar daerah Mukim Batu.

Hasil pemeriksaan mendapati satu tapak yang menjalankan projek pembinaan Blok pangsapuri PPAM didapati tidak patuh senarai semak SOP MKN COVID-19, Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Kesalahan yang dilakukan ialah kontraktor menyediakan penginapan pekerja tidak mempunyai kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau JTK.

Sehubungan itu, notis pemberhentian kerja pembinaan dan surat kelulusan MITI ditarik balik dan notis yang dikeluarkan ialah Notis Seksyen 24d Akta 446, Notis Selenggara Dalam Tempoh 14 Hari Dalam Penempatan dan Notis Gagal Menyediakan Penginapan Pekerja.

BERITA BERKAITAN Tiga tapak binaan diarah henti operasi di Melaka, Johor

Di tapak yang sama, DBKL pula mengeluarkan notis kompaun kerana kesalahan berkaitan mengalirkan cecair ke dalam longkang awam dan meletakkan kabin tanpa kelulusan.

Sementara itu, dalam satu operasi CIDB Negeri Sembilan di sebuah tapak pembinaan di Seremban mendapati tapak itu tidak mematuhi SOP dan diarahkan menghentikan operasi serta-merta.

Antara kesalahan tapak pembinaan tersebut ialah gagal mempamerkan kelulusan pembangunan penginapan pekerja dari PBT, beroperasi dengan kapasiti melebihi 60 peratus pekerja dan tiada saringan suhu di pintu masuk.

Subkontraktor kerja longkang pula didapati melanggar Subseksyen 25(1) iaitu tiada perakuan pendaftaran kontraktor yang sah.

Selain arahan henti kerja, antara tindakan yang diambil adalah mengeluarkan beberapa notis seperti notis arahan hadir untuk pengarah syarikat, notis mengemukakan maklumat mengenai industri pembinaan dan notis kesalahan pendaftaran kontraktor,

Pihak berkuasa juga menampal notis penutupan tapak bagi kesalahan pelanggaran SOP COVID-19 MKN dan menyita keseluruhan tapak bina dengan pita larangan masuk.

Sebagai maklumat, sebanyak 178 tapak pembinaan diarah tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu, berikutan kegagalan mematuhi SOP.

Sejak PKP 3.0 dilaksanakan, sebanyak 3,383 tapak pembinaan telah diperiksa oleh CIDB dan daripada jumlah berkenaan hanya 634 (19 peratus) tapak pembinaan didapati beroperasi.

Kesemua 178 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP berkenaan telah diarah tutup serta merta, bagaimanapun, 28 daripada tapak pembinaan itu telah dibenarkan dibuka semula, selepas mematuhi SOP yang ditetapkan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram