MANFAAT Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan turut dirasai penggiat industri kreatif negara dengan peruntukan sebanyak RM100 juta melalui jabatan serta agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyCreative Ventures (MyCV), Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
Katanya, ini bagi melaksanakan 13 inisiatif utama dalam bentuk kemudahan pembiayaan, pembangunan kapasiti, akses pasaran dan promosi, serta produksi di televisyen dan radio.
“Inisiatif ini mensasarkan lebih 8,000 penerima manfaat daripada pelbagai bidang antaranya penyanyi, pemuzik, pelakon, penulis skrip, pencipta lagu, penggiat teater, artis seni persembahan, syarikat penerbitan dan kru produksi dan teknikal di belakang tabir.
“Dianggarkan juga sebanyak 35,000 pekerjaan bakal diwujudkan dalam industri ini. Peruntukan ini juga akan digunakan untuk meneruskan program-program di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) yang sedang dilaksanakan sejak bulan Februari 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Saifuddin, seramai 11,460 tenaga kerja di bawah syarikat-syarikat produksi penerima Dana Kandungan Digital FINAS bakal menerima caruman perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO melalui Inisiatif Caruman Tenaga Produksi.
Di samping itu, katanya, dalam menghadapi situasi yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19, kerajaan juga menyedari keperluan sokongan psikososial semasa semua rakyat menghadapi perang yang belum selesai ini.
“Dalam konteks ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengadakan slot khas kesihatan mental yang disiarkan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia setiap hari.
“Saya juga harap bahawa peruntukan sebanyak RM15 juta kepada badan-badan bukan Kerajaan atau NGO sebagai rakan strategik Kerajaan untuk menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti akan dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Saifuddin dalam kenyataan itu berkata, PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam disambut baik dan memberi sokongan secara langsung kepada rakyat serta mengukuhkan sistem kesihatan dan program imunisasi kebangsaan dalam saat penting mengharungi cabaran krisis kesihatan ketika ini.
Justeru, beliau melahirkan keyakinan bahawa Pelan Pemulihan Negara secara berperingkat yang disokong dengan PEMULIH untuk membela kelangsungan hidup rakyat dan kelestarian pelbagai industri yang terkesan akibat pandemik COVID-19 mampu membawa negara keluar daripada pandemik ini.
Katanya, KKMM terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dua daripada tiga fokus utama PEMULIH, iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat dan Menyokong Perniagaan dan memberi fokus kepada kesalinghubungan internet, keusahawanan digital, kelangsungan industri kreatif, serta kesihatan mental:
“Dalam masa yang sama, kita juga perlu mengambil peluang dan kemudahan yang disediakan terutamanya dalam pendigitalan, e-dagang dan industri kreatif untuk terus meningkatkan kemahiran ekonomi digital serta memperkayakan penghasilan karya tempatan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Perdana Menteri umum PEMULIH bernilai RM150 bilion
Sementara itu, ujar Saifuddin, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia dan U Mobile telah bersetuju untuk sekali lagi melanjutkan perkhidmatan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember 2021.
Katanya, kemudahan yang dianggarkan bernilai RM500 juta ini akan memberi manfaat kepada 44 juta pelanggan berdaftar.
“Melalui Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK), Kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 800,000 usahawan untuk menerimaguna pendigitalan dan seterusnya terlibat aktif dalam ekonomi digital.
“KKMM juga melalui kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding bersamasama pemain industri dan platform-platform e-Dagang, mensasarkan manfaat kepada lebih 300,000 peniaga mikro dan PKS daripada pelbagai kumpulan dengan peruntukan sebanyak RM200 juta.
“Pada masa yang sama, sejajar dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) dalam pertanian, Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian atau Digital AgTech dengan usaha sama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan melatih 250 usahawan tani khususnya di luar bandar untuk beralih ke platform ekonomi digital.
“Kedua-dua inisiatif ini diharap mampu meningkatkan hasil perniagaan dan penjualan secara dalam talian untuk menjana sumber pendapatan yang lebih lumayan,” jelasnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

