PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej rangsangan terbaharu, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mengambil kira bebanan ditanggung rakyat akibat pelaksanaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut Perdana Menteri, pakej rangsangan kelapan yang diumumkan sejak pandemik COVID-19 melanda itu melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion.
Kata beliau, PEMULIH bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat yang berhadapan dengan masalah kewangan pada masa ini.
Beliau memaklumkan, PEMULIH memberi tumpuan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.
“Saya tahu dan saya faham bahawa ramai yang berhadapan dengan masalah kewangan pada masa ini kerana kehilangan pekerjaan serta tidak dapat berniaga atau bekerja seperti biasa.
“Pengusaha kedai makan dan restoran menanggung rugi kerana ketiadaan pelanggan. Tukang rumah dan pekerja kontrak hilang pendapatan kerana sektor pembinaan bukan kritikal tidak dibenarkan beroperasi.
Baca artikel berkaitan: Ringan beban rakyat, PM umum Pemerkasa Plus RM40 bilion
“Begitu juga pemilik kedai gunting rambut, kedai pakaian, pusat cuci kereta, peniaga pasar malam dan lain-lain yang tidak boleh menjalankan perniagaan. Banyak individu, syarikat dan perniagaan yang terjejas kerana sektor mereka tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam perutusan khas pengumuman PEMULIH hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut menegaskan tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi COVID-19.
Beliau memaklumkan, agenda prihatin dan keselamatan rakyat akan diteruskan manakala sektor perniagaan perlu terus disokong.
“Mengambil kira situasi semasa terutamanya kemunculan varian baharu yang lebih ganas, kerajaan sedar bahawa kapasiti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) perlu ditingkatkan supaya lebih ramai lagi boleh divaksin dengan segera.
“Yang saya boleh janjikan hari ini, biar pun dalam ruang fiskal yang amat terhad, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan saudara dan saudari semua,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

