SEBANYAK tiga kilang dan sembilan premis perniagaan telah diarah tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Jumlah itu merupakan peningkatan berbanding lapan premis yang diarah tutup serta-merta kelmarin kerana didapati melanggar pematuhan SOP.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan penutupan itu dilaksanakan menerusi 1,902 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,478 premis perniagaan dijalankan Task Force Operasi Pematuhan semalam.
Kata beliau, kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis-premis perniagaan.
Beliau berkata, ia adalah kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan dikesan melibatkan kilang dan premis perniagaan.
Baca artikel berkaitan: Langgar SOP, lapan premis diarah tutup semalam
“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 93,459 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota sebanyak 20,717 individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan seramai 680 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 659 individu telah dikenakan kompaun, 20 direman manakala seorang lagi dijamin.
Ismail Sabri berkata, kesalahan tidak menjaga penjarakan fizikal mencatatkan kes tertinggi iaitu melibatkan 184 individu.
Selain itu, menurut beliau, seramai 129 telah ditahan kerana cuba merentas negeri/daerah tanpa kebenaran atau makan dan minum dalam premis manakala 117 lagi gagal merekod butiran diri atau mendaftar masuk premis.
“Seramai 96 individu telah ditahan tidak memakai pelitup muka dan 57 individu lain tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan.
“47 individu telah dikesan membawa penumpang berlebihan, lapan premis gagal mematuhi arahan manakala 42 lagi ditahan atas kesalahan lain,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

