KERAJAAN hari ini melancarkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang merupakan dasar negara yang menyeluruh untuk memacu usaha bersepadu dalam transformasi pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi termaju 4IR.
Dasar 4IR Negara akan menyediakan prinsip panduan dan hala tuju strategik kepada kementerian dan agensi dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan bagi mengoptimumkan pengagihan sumber dan penyelarasan pelaksanaan berkaitan teknologi baru muncul bagi memanfaatkan rakyat, sektor swasta dan awam.
Majlis pelancaran dasar tersebut telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, Dasar 4IR akan menyokong dasar-dasar pembangunan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Rancangan Malaysia Lima Tahun serta melengkapi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dalam mendorong pembangunan ekonomi digital.

Strategi dan inisiatif di bawah Dasar 4IR Negara akan diurus tadbir oleh Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
BERITA BERKAITAN PEMULIH: Penggiat industrif negara turut raih manfaat
Kenyataan itu menyatakan bagi mencapai visi untuk mencapai pertumbuhan yang seimbang, bertanggungjawab dan mampan, dasar 4IR Negara menggariskan tiga misi:
1. Meningkatkan kualiti hidup dengan memanfaatkan kemajuan teknologi
2. Mempertingkat keupayaan tempatan untuk menguasai 4IR dalam semua
sektor
3. Menggunakan teknologi untuk mempertingkat pemeliharaan integriti ekologi
Menerusi Dasar 4IR Negara, kadar pengunaan teknologi 4IR yang bersifat disruptif akan dipertingkatkan dengan pendekatan keseluruhan negara.
Ekosistem yang kondusif dan inklusif yang merangkumi rantaian bekalan dan nilai akan dibangunkan untuk membolehkan pihak industri mencipta produk-produk bernilai tinggi yang bersesuaian dengan kehendak pasaran tempatan dan global.

Impak kepesatan kemajuan teknologi ini tidak boleh dipandang sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya melalui pendekatan quadruple helix yang menggabungkan usaha kerajaan, penyelidik, industri dan rakyat, ia boleh mencipta peluang baharu ke arah sosioekonomi yang mampan.
Dasar 4IR Negara menyediakan hala tuju yang menyeluruh dalam mempersiapkan Malaysia untuk menguasai 4IR dan memanfaatkan tiga kumpulan utama; rakyat, perniagaan dan kerajaan.
Empat teras dasar 4IR Negara ialah:
● Mempersiapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR
● Membina negara yang mempunyai ketersambungan melalui pembangunan
infrastruktur digital
● Menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan supaya
fleksibel mengikut perubahan teknologi
● Mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR
Menerusi Dasar 4IR Negara, rakyat, perniagaan dan kerajaan, dapat memanfaatkan peluang pertumbuhan dan menangani risiko yang wujud daripada 4IR.
Kemunculan teknologi baharu seperti robotik, Kecerdasan Buatan dan Internet Benda telah mengubah cara dunia beroperasi. Teknologi 4IR juga telah membantu usaha memerangi pandemik COVID-19 di seluruh dunia.
Melalui pelaksanaan Dasar 4IR Negara, Indeks Kesejahteran Rakyat Malaysia (MyWI) disasarkan meningkat kepada 136.5 pada tahun 2030, berbanding 124.4 pada tahun 2018.
Malaysia juga disasarkan untuk berada pada kedudukan 20 teratas dalam Global Innovation Index pada tahun 2030 serta mencapai peningkatan 30 peratus produktiviti merentas semua sektor berbanding pada tahun 2020.
Dasar 4IR Negara hanya akan dapat dicapai apabila pihak berkepentingan utama memainkan peranan masing-masing secara aktif dan kerjasama yang kukuh antara rakyat, sektor swasta dan kerajaan dijalin.
Sektor swasta dan masyarakat memainkan peranan dalam memacu agenda 4IR negara dengan menerajui pendekatan yang bertanggungjawab dan mampan.
Peranan utama kerajaan adalah untuk menetapkan dasar dan rangka kawal selia yang bersesuaian supaya perniagaan dan masyarakat mendapat akses yang saksama kepada peluang dan manfaat sosioekonomi yang wujud daripada 4IR.
Untuk memuat turun Dasar 4IR Negara, sila ke laman web www.epu.gov.my.

