SEBANYAK lebih 23,000 permohonan baharu bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diluluskan setakat lima bulan sehingga Mei 2021.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun, kelulusan baharu itu adalah daripada hampir 69,000 permohonan seluruh negara.
Kata beliau, ia sekali gus menjadikan jumlah penerima bantuan JKM sehingga Mei 2021 adalah seramai 517,769 orang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.1 bilion.
Beliau berkata, kementeriannya juga memberi tumpuan kepada golongan miskin tegar dan ibu tunggal disebabkan memahami kekangan yang dihadapi ekoran penularan pandemik COVID-19.
“Di bawah JKM ada 11 jenis bantuan secara keseluruhan. Kita tiada bantuan khusus kepada ibu tunggal tetapi kita beri kepada anak-anak mereka.
“Kita lihat jumlah penerima bantuan juga telah bertambah. Ini agak merisaukan. Kita tahu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ramai yang terjejas.
“Ada golongan berpendapatan sederhana (M40) dah jadi berpendapatan rendah (B40). B40 pula dah jadi miskin tegar. Jadi, kita fokus dahulu kepada kumpulan miskin tegar ini,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Hubungi pusat khidmat wakil rakyat jika terputus bekalan makanan
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan menyantuni ‘pelanggan’ JKM yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di projek perumahan rakyat (PPR) Kerinci hari ini.
Menyentuh mengenai lawatan itu, Rina berkata, beliau telah menyantuni dan menyampaikan surat kelulusan Bantuan Kanak-Kanak kepada empat orang penama hari ini.
Katanya, kesemua penerima hari ini adalah ibu tunggal yang telah kematian suami atau pun ditanggung tidak bertali.
Beliau memaklumkan, ada di antara penerima yang tidak dapat mencari rezeki ekoran pelaksanaan PKP 3.0 dan PKPD di beberapa mukim dalam Selangor dan Kuala Lumpur mulai esok.
“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban kewangan mereka. Selain memberikan bantuan kewangan dan juga sumbangan bakul makanan, saya lihat ada juga yang perlukan bimbingan psikologi.
“Dalam keadaan tekanan sekarang, kekuatan ibu ini amat kita perlukan untuk menjamin kesejahteraan dan kehidupan anak-anak.
“Selain itu, kita juga lihat mana yang bersesuaian untuk kita bantu dari segi mendapatkan pekerjaan. Perkara di bawah JKM ini sedang dilaksanakan, bukan hanya satu bentuk sumbangan sahaja tetapi secara holistik,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

