Ketua Wanita Perikatan Nasional, Datuk Seri Rina Harun berucap pada Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di Serdang, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

TINDAKAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) adalah demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara.

Itu penegasan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun berhubung kemelut yang berlaku dalam PH sebelum ini sehingga Bersatu keluar daripada gabungan parti tersebut.

Jelas Rina yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Sepang itu, Bersatu bukan pengkhianat seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Rina mendakwa, kerajaan di bawah pentadbiran PH sebelum ini dilihat tidak mesra kakitangan kerajaan dan rakyat berbilang kaum.

Jelas beliau, hal itu sekali gus menyebabkan Bersatu turut terpalit dengan persepsi berkenaan. 

“Kerana itulah, Bersatu ini, dalam tempoh 22 bulan, bukan sahaja tidak mesra kakitangan kerajaan, juga tidak mesra antara kaum sesama kita.

“Kerana tak dijaga dengan baik, kami ambil keputusan keluar PH. Kita baca sana sini, rusuhan kaum, tidak menghormati sesama mereka. Kerana itu, kami Bersatu ambil keputusan untuk keluar daripada PH.

“Keluar PH ini bukan kerana (kita) pengkhianat, tetapi kerana nak menyelamatkan agama, bangsa dan negara. Kalau kita tak keluar, mungkin kita tak duduk sepentas seperti hari ini.

“Ada banyak rahmatnya di sebalik apa yang berlaku,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Baca lagi: Media main peranan bantu KPWKM sampai maklumat tepat kepada rakyat – Rina Harun

Dalam pada itu, Rina turut menepis dakwaan bahawa beliau takut untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa yang dimenanginya dalam PRU-14.

Jelas Rina, beliau sememangnya berasal dari Sepang dan ingin memberi khidmat buat penduduk di Parlimen itu dalam pilihan raya kali ini.

“Saya sebelum ini adalah Ahli Parlimen Titiwangsa. Ada yang tanya, lari dari Parlimen Titiwangsa? Ini saya nak cakap, saya asal Sepang.

“Ibu saya lahir di Sepang, datuk saya imam Masjid Salak Tinggi. Memang asal Sepang. Sebab itu saya menawarkan diri di Sepang. 

“Saya harap semua dapat bantu saya untuk saya terus bantu rakyat Sepang,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram