SEORANG pemuda Palestin maut akibat ditembak askar pengganas Israel dan peneroka haram Yahudi dalam satu kejadian di Kampung Qusra, selatan bandar Nablus di Tebing Barat yang dijajah Israel, semalam.
Agensi berita Palestin WAFA yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan melaporkan, dua penduduk Palestin turut cedera dalam kejadian itu.
Pemantau aktiviti penjajahan Israel, Ghassan Daghlas berkata, Mohammad Fareed Hasan, 20, cedera parah akibat ditembak di bahagian dada oleh askar pengganas Zionis.
Allahyarham kata Daghlas kemudiannya disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian.
Katanya, ketika kejadian, Fareed sedang berdiri di atas bumbung rumahnya sebelum ditembak.
Tambahnya, dua lagi penduduk Palestin cedera ditembak di bahagian kaki oleh peneroka haram Yahudi semasa mempertahankan kampung mereka daripada diserang pendatang haram itu.
Dalam pada itu, portal Al Jazeera yang memetik jurucakap askar pengganas Israel berkata, tentera rejim ketika kejadian cuba meleraikan penentangan antara peneroka haram Yahudi dan penduduk Palestin.
Ujarnya, askar pengganas Israel kemudiannya melihat seorang lelaki melempar peranti letupan ke arah mereka dari atas bumbung sebuah rumah dan bertindak balas dengan melepaskan tembakan ke arah suspek untuk mematahkan ancaman tersebut.
Penduduk Palestin mengadakan demonstrasi mingguan bagi membantah penambahan penjajahan peneroka haram Yahudi di beberapa lokasi di Tebing Barat.
Sementara itu, tentera pengganas Israel berkata, pihaknya melancarkan serangan udara ke atas lokasi pembuatan senjata dan tapak pelancaran roket Hamas di Genting Gaza, semalam.
Katanya, serangan itu sebagai tindak balas kepada serangan belon api yang dilancarkan dari Gaza.
Media tempatan melaporkan, seorang penduduk Palestin cedera parah dalam serangan udara itu.

