SERAMAI 651 individu dikompaun di seluruh negara semalam selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu sebanyak 38 individu direman manakala dua lagi dijamin.
Katanya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 89,136 pemeriksaan semalam.
“Semalam, 691 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 651 individu dikompaun, 38 lagi direman manakala dua lagi dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (189); tiada penjarakan fizikal (133); tidak memakai pelitup muka (91); individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (78) dan tidak patuh arahan kawalan pergerakan (63).
“Selain itu, kesalahan dilakukan termasuk membawa penumpang berlebihan (49); premis gagal patuhi arahan (21); aktiviti pusat hiburan (6) dan lain-lain (61),” katanya hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, sebanyak empat kilang dan 20 premis perniagaan diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.
Ujar beliau, semalam, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 5,785 pemeriksaan ke atas kilang, 15,388 premis perniagaan, 569 tapak pembinaan dan 297 asrama penempatan pekerja.
“Sehingga semalam, secara kumulatifnya sebanyak 151,773 premis peniagaan telah diperiksa, kilang (25,970), tapak pembinaan (1,847) dan asrama penempatan pekerja (812),” tambahnya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 35 pendatang asing yanpa izin (PATI) ditahan semalam menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) selain tiga buah kenderaan darat dirampas oleh agensi keselamatan negara.

