Elak monopoli kontrak ujian Covid-19 di lapangan terbang

Dari Penulis

JUMLAH 40,000 orang bukanlah angka yang  kecil. Kalau mengikut kapasiti Stadium Shah Alam, angka itu boleh mengisi separuh daripada stadium tersebut. Itulah jumlah penumpang yang tiba (ketibaan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 setiap hari.

Sejak 1 Julai lalu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah melantik BP Clinical Lab untuk mengendalikan pemeriksaan Covid-19 ke atas semua penumpang yang tiba – selaras dengan tender yang diberikan. 

Ia bermakna di bahu BP Clinical Lab terpikul satu tanggungjawab cukup berat iaitu memastikan 40,000 penumpang yang tiba setiap hari itu bebas daripada virus Covid-19 melalui ujian atau pemeriksaan RTK-Ag dan RT-PCR.

Sebarang kelemahan dalam pengendalian pemeriksaan tersebut boleh meletakkan negara dalam bahaya memandangkan  ia mungkin akan menyebabkan virus yang dibawa oleh penumpang itu merebak.

Akibatnya, mereka akan menjadi ‘pengimport’ kepada virus berkenaan dan berkemungkinan juga ‘pengeksport’ apabila mereka meninggalkan negara ini.

Perlu hati-hati buat ujian, bukan kerja mudah

Justeru setiap pemeriksaan perlu dilakukan secara berhati-hati, teliti, cermat dan selamat. Inilah cabaran yang dihadapi oleh BP Clinical Lab kerana mereka perlu memastikan semua penumpang menjalani pemeriksaan tersebut.

Ia bukan kerja mudah apatah lagi melibatkan 40,000 sehari dengan masa operasi sebenar lapangan terbang dikatakan sekitar 18 jam. Dalam tempoh 18 jam itulah kesemua penumpang tersebut akan diperiksa. Kalau membaca kenyataan Penasihat Kumpulan BP Healthcare, Datuk Dr.Abd Razak Md Yusof kepada media, syarikat itu bersedia menggalas tanggungjawab berkenaan.

Mereka menyediakan tenaga kerja yang berpengalaman dan pegawai perubatan terlatih. Selain itu 14 ‘booths’ juga disediakan untuk melakukan swab test dan imbasan yang akan dikendalikan oleh anggota perubatan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kata syarikat itu, apabila beroperasi sepenuhnya 200 kakitangan akan terlibat.

Jaminan juga diberikan bahawa kemampuan untuk menghasilkan keputusan RTK-Ag adalah dalam 15 minit dan keputusan imbasan RT-PCR ialah 3 jam.

Untuk rekod, mengikut beberapa laman web perubatan antaranya doctoroncall.com.my, masa yang diambil untuk mendapatkan keputusan melalui ujian RT-PCR ialah adalah 2-5 jam. Sampel biasanya diambil dengan menggunakan kaedah nasopharyngeal swab. Manakala untuk RTK  keputusan daripada ujian ini hanya memerlukan masa lebih kurang 45 minit.

Ia bermakna apa yang dilakukan di KLIA dan KLIA2 jauh lebih cepat. Ada yang bertanya adakah sistem pemeriksaan di KLIA itu sudah teruji di mana-mana lapangan terbang antarabangsa lain seperti Heathrow di London, Incheon di Korea, Lapangan Terbang Hongkong, Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX) dan beberapa lagi?  Jawapannya hanya MAHB yang tahu.

Tetapi yang pasti BP Clinical Lab perlu mengendalikan 40,000 penumpang sehari dan jika dibahagikan kepada 18 jam operasi lapangan terbang, bermakna terdapat sekitar 2,222 penumpang dalam sejam yang akan diuruskan di 14 booths.

Mengikut pengurusan syarikat itu, jangkaan menunjukkan seorang doktor boleh melakukan swab test ke atas sehingga 60 orang, maknanya seminit seorang – mungkin masa ini boleh ‘diperbahaskan’ kerana kata pemain industri ‘’ia agak mustahil sebab faktor persediaan dan pergerakan’’.

Namun syarikat tersebut mungkin mempunyai alasan kenapa mereka menjangkakan tempoh itu, tetapi apa yang pasti ketepatan masa ujian atau pemeriksaan iaitu antara 15 minit hingga 3 jam harus benar-benar berlaku bagi mengelakkan sebarang kesesakan sama ada di KLIA,KLIA2. 

Perlu diingat, hitungan jumlah penumpang adalah berdasarkan situasi pandemik Covid-19 ketika ini, mungkin selepas pandemik jumlah penumpang akan meningkat sekali atau dua kali ganda.

Kalau mengikut situasi sebelum Covid-19 iaitu pada tahun 2019, jumlah penumpang di KLIA ialah dianggarkan 60 juta setahun. Mengikut anggaran kasarnya 30 juta penumpang masuk dan 30 juta penumpang keluar. 

KLIA dan KLIA2 dikatakan menguasai 70 peratus daripada jumlah keseluruhannya. Ia bermakna jika angka ketibaan kekal sekitar 30 juta, BP Clinical Lab akan mengendalikan pemeriksaan ke atas sekitar 20 juta penumpang.

Justeru pemeriksaan Covid-19 di kedua-dua KLIA tidak boleh ada masalah. Inilah cabaran kepada syarikat tersebut. Walaupun mengikut rekod syarikat itu mempunyai pengalaman lebih daripada 38 tahun dalam industri penjagaan kesihatan dan sehingga kini BP Clinical Lab telah menjalankan ujian Covid-19 lebih daripada 3.5 juta tetapi kalau dipecahkan bagi tempoh setahun, syarikat itu mengendalikan sekitar 9,000 ujian sehari. 

Tiada boleh ada bebanan lain

Namun sekarang dengan jumlah 40,000 penumpang sehari bermakna ia empat kali ganda dari ujian yang pernah mereka lakukan dalam sehari. Kalau ikut pemain-pemain industri yang terlibat dalam bidang pemeriksaan seumpama itu 3,000 ujian sehari sahaja sudah cukup berat.

Bagaimanapun pengurusan syarikat itu tentu memahami cabaran ini dan telah melakukan persiapan cukup rapi. Untuk tujuan itu pastinya mereka telah mengeluarkan perbelanjaan cukup besar bagi menyediakan tenaga kerja dan peralatan.

Bagi pemain-pemain industri, fakta ini menunjukkan BP Clinical Lab perlu memberi tumpuan penuh kepada soal pemeriksaan Covid-19 (untuk penumpang tiba) di KLIA dan tidak boleh lagi diberikan bebanan lain. 

MAHB harus memahami situasi ini kerana pemeriksaan Covid-19 di lapangan terbang bertaraf antarabangsa cukup penting kerana ia berkaitan imej negara. Kita tidak mahu ada kelemahan kerana jika itu berlaku ia ibarat menjemput ‘virus Covid-19 sebagai tetamu tidak diundang’.

Dalam bahasa mudah, biarlah BP Clinical Lab mengendalikan pemeriksaan penumpang yang tiba (ketibaan) di KLIA sahaja manakala pemeriksaan Covid-19 bagi penumpang yang mahu berlepas (pelepasan) sama ada di KLIA atau lima lagi lapangan terbang antarabangsa di negara ini iaitu Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu, Subang dan Kuching harus diberikan kepada syarikat lain untuk mengendalikannya.

Selain ia berkaitan soal keselamatan, MAHB juga harus memastikan tidak wujud persoalan kenapa hanya sebuah syarikat sahaja memonopoli pemeriksaan Covid-19 di lapangan terbang milik MAHB. 

Tambahan pula sebagai salah sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), MAHB juga bertanggungjawab untuk  memastikan agenda memperkasakan bumiputera benar-benar dilaksanakan. Penulis percaya selain BP Clinical Lab, pasti ada syarikat bumiputera yang mampu mengendalikan pemeriksaan Covid-19 tersebut.

Pemain-pemain industri berpendapat, wajar tugasan itu dibahagi-bahagikan kepada banyak syarikat dan bukannya dimonopoli sebuah syarikat sahaja kerana dalam soal menjamin keselamatan lapangan terbang dan negara ketika pandemik Covid-19, tidak boleh ada kompromi atau mengamalkan pendekatan meletakkan ‘semua telur dalam satu bakul’ .


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan MADANI komited pastikan setiap kerajaan negeri terima sokongan yang diperlukan – Saifuddin

KERAJAAN MADANI kekal komited memastikan setiap kerajaan negeri menerima sokongan yang diperlukan berdasarkan keperluan pembangunan serta kesejahteraan rakyat. Menteri Dalam...

More Articles Like This