Ketika ada yang ‘gila’ berpolitik, Rakyat pilih roti berbanding undi

Dari Penulis

Oleh SALADIN HASAN SALLEH

Sambutan masyarakat terhadap kempen gantung bendera putih jika memerlukan bantuan makanan akibat hambatan pandemik Covid-19 nampaknya telah dimanipulasikan oleh kumpulan bermotif politik iaitu Sekretariat Solidariti Rakyat.

Antara penyokong utama sekretariat ini ialah empat parti politik iaitu DAP, PKR, PAN dan MUDA yang belum lulus pendaftarannya.

Mereka mempromosikan kempen bendera hitam sebagai simbolik mendesak Perdana Menteri meletak jawatan serta merta, Parlimen segera bersidang dan Darurat ditamatkan.

Dengan kata lain, kempen bendera hitam ini sebenarnya mahu mengajak rakyat menukar kerajaan. 

Walaupun trending di Twitter, ia masih belum menyamai kejayaan kempen bendera putih. Nampaknya yang bersungguh-sungguh dengan bendera hitam ini hanyalah kelompok ‘gila’ berpolitik.

Majoriti masyarakat yang rasional tidak ambil pusing mengenainya kerana tidak mahu berhadapan dengan satu lagi krisis politik kerana Covid-19 mengajar mereka erti perjuangan kehidupan yang sangat getir.

Berdasarkan satu analogi dalam demokrasi, jika rakyat ketika ini diberikan pilihan sama ada diberi roti (makan untuk terus hidup) dan undi (mandat untuk kerajaan baharu), mereka akan memilih roti.

Lagipun, tiada jaminan kita akan menerima kerajaan baharu yang lebih baik dengan mengambil kira keadaaan negara berhadapan dengan satu situasi yang kita semua tidak pernah alami iaitu ancaman Covid-19.

Silap hari bulan, kerajaan baharu itu jauh lebih teruk dengan apa yang kita miliki sekarang. Ini kerana menguruskan negara sewaktu krisis seberat sekarang bukanlah mudah.

Pandemik ini sendiri telah banyak mencalarkan imej kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ia boleh diumpamakan sebagai satu rahmat yang tersembunyi buat Pakatan Harapan (PH) atau UMNO dan kelompok Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri. Jika memerintah pada masa ini, pastinya mereka juga berdepan masalah yang sama. 

Persoalan utama ialah adakah jika kerajaan ditukar, Covid-19 akan terus selesai dan ekonomi terus pulih? Berdasarkan keadaaan semasa, ia mungkin boleh menjadi lebih buruk jika kita membuat percaturan yang salah.

Hakikatnya, kita semua sedang berada di medan peperangan yang rumit kerana menentang musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Pihak kerajaan juga telah menyusun pelbagai taktikal perang dengan yang paling utama ialah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). 

Kita sedia maklum yang PICK sentiasa diserang pemimpin politik pembangkang tetapi hakikatnya ia tidak dibuat secara adil dan objektif. Antara yang popular ialah PICK digambarkan sebagai lembab memberikan vaksinasi, sekaligus dijadikan bukti bahawa kerajaan telah gagal.

Walhal prestasi vaksinasi negara sebenarnya masih berada pada landasannya dan akan menyaksikan peningkatan ketara dalam masa tiga bulan akan datang bermula bulan ini.

Ini kerana Malaysia akan menerima tambahan 12 juta dos vaksin. Ia satu jumlah yang besar berbanding hanya lapan juta dos yang diterima sejak Februari lalu sehingga Jun.  

Ramai yang membuat perbandingan tidak adil apabila menjadikan kadar vaksinasi negara besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) mahupun Kesatuan Eropah (EU) sebagai kayu ukur.

Negara-negara sedemikian pastinya lebih pantas kerana mereka mempunyai akses besar kepada bekalan vaksin dan berupaya memonopolinya berbanding negara-negara kecil seperti Malaysia.

Negara-negara kecil, jika ada duit berkepuk sekalipun belum tentu mampu mendapatkan stok vaksin dalam jumlah yang besar dan dengan secepat mungkin.

Kita tidak perlu melihat negara jauh, cukup dengan jiran kita Singapura. Sebuah negara yang maju dan mempunyai hubungan baik dengan kuasa besar seperti AS, malah Israel sekalipun.

Dengan status sedemikian dan jumlah populasi yang kecil sekitar 5.8 juta penduduk, sepatutnya Singapura telah lama mencapai imuniti kelompok. Tetapi angka semasa menunjukkan hanya 2.3 juta penduduknya telah menerima dua dos vaksin.

Malaysia pula dengan populasi 32.7 juta, telah memberikan dua dos vaksin kepada 2.46 juta penduduknya. Jadi teruk sangatkah kadar vaksinasi semasa di negara ini sehingga kerajaan hendak ditakrifkan sebagai gagal dan perlu ditukar? 

Jangan kita lupa dengan peperangan melawan Covid-19 yang semakin sengit sehingga Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa dunia kini dalam tempoh sangat bahaya.

Lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian Delta kini yang dikenal pasti pertama kali di India terus menular dan bermutasi sehingga tersebar di hampir 100 negara.

Menurut Dr Tedros, beberapa negara yang mempunyai kadar vaksinasi rendah akan berdepan keadaan hospital yang tenat, tetapi tiada negara di dunia ini yang berjaya keluar dari masalah ini.

Jadi adalah lebih baik kerajaan sedia ada tidak diganggu gugat sehingga peperangan menentang musuh halimunan ini mencapai bibit-bibit kejayaan terlebih dahulu. Selepas itu barulah kita membuat perhitungan politik selaras dengan tuntutan demokrasi. 

Kerana dalam keadaan sekarang, rakyat pastinya memilih roti berbanding undi!

*Penulis adalah penganalisis politik


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel turun 30 sen seliter minggu ini

HARGA diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun ini. Kementerian Kewangan dalam kenyataan...

More Articles Like This