SERAMAI 151,729 individu atau 33 peratus daripada 457,462 penerima Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang menjalani saringan kesihatan di bawah skim baharu itu dikesan menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit.
Data membimbangkan itu adalah berdasarkan Laporan PeKa B40 2019-2020 yang dilancarkan hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah tersebut melibatkan kumpulan B40 yang sebelum ini tidak pernah mengetahui menghidap penyakit tidak berjangkit itu.
Kata beliau, 10.4 peratus dikesan menghidap kencing manis; 29.8 peratus kolesterol tinggi; 13.8 peratus darah tinggi; 1.6 peratus masalah mental seperti kemurungan; 1.4 peratus keresahan selain masalah obesiti dan sebagainya.
Beliau berkata, penerima PeKa B40 itu tidak pernah menjalani saringan kesihatan apatah lagi mendapatkan rawatan susulan sebelum menjalani saringan kesihatan PeKa B40.
“Penerima PeKa B40 mendapat empat manfaat iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan sehingga RM20,000, insentif melengkapkan rawatan kanser berjumlah RM1,000 dan insentif tambang pengangkutan sehingga RM1,000.
Baca artikel berkaitan: KKM laksana 4 langkah afirmatif tangani keadaan luar jangka kedatangan pesakit ke hospital di Lembah Klang
“Skim ini memberi fokus penyakit tidak berjangkit dan percuma kepada semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta pasangan yang berumur 40 tahun dan ke atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Adham memaklumkan sebanyak RM62.5 juta telah dibelanjakan bagi tempoh 15 April 2019 hingga 31 Disember 2020 untuk membiayai skim tersebut yang bertujuan membuat pengesanan awal terhadap penyakit tidak berjangkit rakyat kumpulan B40.
Katanya, daripada jumlah tersebut RM38.5 juta dibelanjakan untuk manfaat saringan kesihatan yang meliputi pengambilan sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, saringan kesihatan mental, pemeriksaan kanser payudara dan prostat serta ujian air kencing dan darah.
Menurut beliau, saringan kesihatan PeKa B40 ini dilakukan di klinik swasta dan Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seluruh negara.
Bagi manfaat Bantuan Alat Perubatan, beliau berkata, sebanyak RM20.9 juta telah dibelanjakan bagi membiayai permohonan 10 jenis alat perubatan.
“Melalui kepakaran dalam melakukan pembelian strategi, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. telah berjaya menjalankan rundingan harga bagi Drug Eluting Stent (DES) bagi penerima PeKa B40 sekali gus menghasilkan penjimatan wang kerajaan melebihi RM10 juta.
“Menerusi manfaat Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser yang diwujudkan bagi menggalakkan penghidap kanser melengkapkan rawatan yang ditetapkan, sejumlah RM1.6 juta telah dibelanjakan.
“Manfaat Insentif Tambang Pengangkutan untuk meringankan beban perbelanjaan kos perjalanan bagi mendapatkan rawatan melibatkan dua manfaat PeKa B40 pula, sebanyak RM1.5 juta telah dibelanjakan bagi tempoh sehingga 31 Disember 2020,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

