KKM laksana 4 langkah afirmatif tangani keadaan luar jangka kedatangan pesakit ke hospital di Lembah Klang

Dari Penulis


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan empat langkah afirmatif segera untuk menangani keadaan luar jangka kedatangan atau rujukan pesakit yang tinggi ke hospital KKM di Lembah Klang. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata, ini selepas penggunaan katil pesakit (termasuk repurpose bed) di Lembah Klang kini telah mencapai kadar melebihi 85 peratus secara keseluruhan.

Menurutnya, mengambil kira isu keperluan penyediaan katil tambahan khususnya katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), pengurusan KKM semalam telah mengadakan perbincangan bersama dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL); Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur; Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Ketua Perkhidmatan Kepakaran yang berkaitan bagi meneliti langkah afirmatif segera itu.

Antara langkah afirmatif yang akan dilaksanakan segera adalah seperti berikut:

i) Memperluaskan lagi penyumberluaran (outsourcing) pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi membolehkan HKL menerima dan merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

ii) meningkatkan kapasiti katil ICU dan bukan ICU termasuk peralatan dan kemudahan yang diperlukan seperti alat bantuan pernafasan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti seperti Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Hospital Universiti Putra Malaysia dan Hospital Universiti Teknologi MARA bagi menerima dan merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

iii) Memberi penugasan semula (mobilisasi) secara sementara kepada petugas kesihatan (pakar perubatan dan anggota paramedik)dari negeri tertentu bagi menyokong perkhidmatan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti yang memerlukan petugas kesihatan tambahan bagi merawat pesakit Covid-19.

iv) Mengoptimumkan sumbangan sukarelawan dan pelajar kejururawatan tahun akhir dari Institut Latihan KKM yang sedang menjalani latihan praktikal (akan diberivaksinasi terlebih dahulu) bagi membantu petugas kesihatan sedia ada seperti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Selain itu, sebahagian anggota jururawat berpengalaman yang ditugaskan di PPV dan Pusat Saringan Covid-19 akan ditugaskan semula bagi menyokong penyampaian perkhidmatan dihospital KKM. 

“Menerusi langkah-langkah afirmatif ini,KKM berharap tekanan tinggi yang diterima oleh pihak hospital untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 akan dapat dikurangkan dari semasa ke semasa serta negara dapat segera mencapai pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Adham selain itu berkata, Kerajaan pada masa akan melipatgandakan lagi pemberian vaksin daripada sejumlah 250,000 suntikan sehari pada masa ini kepada 300,000 suntikan sehari.

Ujarnya, ia dicapai menerusi perolehan vaksin tambahan dan pembukaan lebih banyak PPV di seluruh negara, termasuk PPV PangkalanTLDM KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor.

“Selain meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan kawalan mengikut sektor tertentu oleh pihak yang diberikuasa, kepatuhan kepada norma baharu oleh semua pihak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini amat diperlukan dan penting bagi mempercepatkan lagi kadar penurunan kes Covid-19 di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Adham berkata, terdapat peningkatan bilangan pesakit  Covid-19 kategori 3 hingga 5 yang hadir atau dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Unit Rawatan Rapi khususnya di HKL.

Katanya, daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dikendalikan oleh HKL, sebanyak 71 peratus adalah pesakit Covid-19 kategori 3 hingga 5 manakala bakinya adalah pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2. 

Menurutnya, berdasarkan rekod terkini, Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL menerima antara 60 hingga 70 orang pesakit Covid-19 dalam tempoh sehari dengan purata tiga pesakit kategori 4 dan kategori 5 yang memerlukan bantuan alat pernafasan manakala pesakit kategori 5, pesakit perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi.

“Jumlah kedatangan atau rujukan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat ke hospital KKM di Lembah Klang juga ditangani dengan kerjasama Hospital Sungai Buloh yang kini berstatus Hospital Covid-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS yang turut mengendalikan sementara pesakit Covid-19 hingga kategori 4 sebelum pesakit dipindahkan ke hospital.

“KKM juga bekerjasama dengan Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM, Hospital Universiti Putra Malaysia dan Hospital Universiti Teknologi MARA dan Hospital Angkatan Tentera Malaysia untuk menerima dan merawat kes pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19,” tambahnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This