SEORANG warga emas berusia 100 tahun merupakan antara 103 korban akibat jangkitan COVID-19 yang dilaporkan hari ini.
Warga emas yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru itu mempunyai sejarah penyakit darah tinggi.
Selain itu, terdapat empat kematian yang dikesan hari ini turut melibatkan warga emas berusia 90 tahun ke atas.
Ia termasuk seorang wanita berusia 95 tahun tidak mempunyai sejarah penyakit lain yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Sebanyak 103 kes kematian hari ini sekali gus menjadikan kumulatif korban angkara COVID-19 meningkat kepada 5,677 kes.
Kematian yang dilaporkan pada hari ini melibatkan 94 warganegara manakala sembilan lagi bukan rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kes kematian tertinggi pada hari ini dilaporkan di Selangor yang mencecah 43 korban.
Kata beliau, ia diikuti 18 kes di Kuala Lumpur dan 12 lagi di Negeri Sembilan.
Baca artikel berkaitan: 13 kes kematian jenazah dibawa ke hospital antara 77 korban COVID-19
Dr. Noor Hisham memberitahu, sembilan kes telah dikesan di Johor; enam di Kelantan dan empat di Pahang.

“Sebanyak tiga kes telah dilaporkan di Melaka serta masing-masing dua di Sarawak dan Kedah.
“Sabah, Perak, Labuan dan Pulau Pinang mencatatkan satu kes kematian hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, korban termuda hari ini melibatkan dua lelaki iaitu kes kematian kumulatif ke-5641 dan 5643 yang masing-masing berusia 21 tahun.
Kes kematian ke-5641 mempunyai sejarah penyakit kencing manis meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh manakala kes 5643 pula mempunyai sejarah penyakit epilepsi.
Kes kematian 5643 itu juga merupakan antara 12 kes Brought in Dead (BID) atau jenazah dibawa ke hospital iaitu ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Katanya, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) meningkat kepada 943 dengan 450 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Berdasarkan status hari ini juga, sebanyak 4,797 kes dilaporkan sembuh manakala kes aktif seluruh negara adalah sebanyak 72,201 kes.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

