ISU kehidupan masyarakat terjejas sehingga ada keluarga yang tidak mampu membeli makanan akibat COVID-19 menjadi perhatian semua pihak masa kini.
Walaupun kerajaan dan pelbagai pertubuhan kebajikan menjalankan pelbagai program dan usaha bagi membantu golongan tersebut tetapi tidak dinafikan masih ada kes-kes yang ‘terlepas pandang’ yang menyebabkan kempen ‘bendera putih’ mendapat sokongan netizen.
Menyedari mengenai masalah tersebut, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan Op Bantu yang bertujuan memudahkan rakyat mendapatkan bantuan makanan dari kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, melalui Op Bantu, kesemua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara akan dijadikan sebagai pusat pengagihan bantuan bekalan makanan bagi mereka yang terkesan.
“Di lapangan, Op Bantu akan diketuai 157 Ketua Polis Daerah seluruh negara dan melibatkan Skuad Aman Wanita (Amanita) di bawah Polis Diraja Malaysia serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di peringkat daerah yang ditugaskan untuk menyampaikan bantuan segera.
BERITA BERKAITAN Kibar bendera putih atau tidak, yang susah wajar dibantu
“Anggota RELA di lapangan juga ditugaskan melakukan rondaan bagi mendapatkan maklumat dan bagi tujuan penyaluran bantuan kepada mana-mana individu yang memerlukan bantuan segera,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.
“Hari ini pengagihan hampir 50,000 bakul makanan ke seluruh negara telah dilakukan,” katanya memetik laporan Bernama.com.
Beliau dalam masa sama meminta individu yang terputus bekalan makanan supaya memaklumkan kepada IPD berdekatan dan bagi mereka yang tidak dapat hadir, boleh hubungi IPD berhampiran melalui talian rasmi IPD atau talian WhatsApp khas Op Bantu yang akan dimaklumkan kemudian.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Sementara itu, Rina berkata inisiatif berkenaan merupakan antara usaha mendekati mereka yang memerlukan bantuan semasa pandemik COVID-19 serta sebagai tindak balas proaktif kepada isu dan situasi yang sedang dihadapi masyarakat.
“Sudah pasti program yang diadakan hari ini menepati konsep tiada siapa yang tertinggal,” katanya.
Dalam kenyataannya pula, Rina berkata kolaborasi strategik antara KPWKM dengan KDN itu akan diteruskan walaupun selepas pandemik COVID-19, bagi menyantuni masyarakat dan memastikan golongan yang memerlukan mendapat bantuan yang sewajarnya.
“Sejajar dengan konsep “whole of government”, kerjasama antara KPWKM dan KDN melalui agensi-agensi di bawahnya akan dapat mewujudkan penglibatan komuniti bagi menangani gejala sosial, membantu rakyat yang memerlukan dan membasmi jenayah,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

