PENINGKATAN kes aktif sehingga mencecah 5,504 jangkitan setakat Ahad lalu telah membuatkan seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan bakal diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
PKPD yang membabitkan kesemua lapan mukim di Seremban itu akan berkuat kuasa Jumaat ini sehingga 22 Julai 2021.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi terkini kes COVID-19 yang melibatkan lapan mukim iaitu Ampangan, Labu, Lenggeng dan Pantai.
Selain itu, kata beliau, mukim yang terlibat adalah Rantau, Rasah, Seremban dan Setul.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, KKM juga mengesahkan penularan kes masih berlaku dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.
“Ini sekali gus memerlukan kaedah pemutusan jangkitan dengan segera.
Baca artikel berkaitan: PKPD empat kampung di Pahang, Sabah dan Sarawak
“Sehubungan itu, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di seluruh daerah Seremban.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan penduduk di kesemua mukim yang terlibat serta mengekang penularan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan satu lagi lokaliti di Kuantan, Pahang akan turut diletakkan di bawah PKPD berkuat kuasa tempoh sama.
Katanya, PKPD itu akan dikuatkuasakan di Kuarters Pekerja Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Gebeng, Kuantan.
Setakat ini, menurut beliau, KKM telah merekodkan 147 kes positif COVID-19 setelah menjalani 4,278 ujian saringan dengan kadar positiviti sebanyak 3.4 peratus.
“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan untuk menjalankan pengesanan awal kes-kes disyaki COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

