KES jangkitan COVID-19 di Selangor semakin menunjukkan trend peningkatan walaupun selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Lebih membimbangkan, Selangor yang terus menjadi penyumbang tertinggi kes harian sehingga mencecah 4,152 jangkitan hari ini.
Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) malah mengesahkan purata kes harian di Selangor dalam tempoh 14 hari menunjukkan lonjakan secara mendadak dengna jumlah kluster terus meningkat.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan satu lagi Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.
Kata beliau, hospital medan itu berperanan untuk menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di Selangor seterusnya membantu KKM menangani situasi COVID-19 di negeri itu.
“Pada masa sama, ATM juga memberi jaminan sentiasa komited dan bersiap-siaga jika ada keperluan untuk membina hospital-hospital medan di negeri-negeri lain.
“ATM bersiap sedia sekiranya negeri-negeri lain memerlukan khidmat sokongan kesihatan dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: KKM tingkat kesiapsiagaan COVID-19 di Lembah Klang
Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut mengumumkan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut bersetuju mewujudkan Hospital Medan ATM di Melaka untuk menyokong sistem perkhidmatan kesihatan di negeri berkenaan.
“ATM akan berbincang dengan lebih lanjut bersama KKM untuk memperincikan semua keperluan bagi menentukan pembukaan hospital medan ATM di negeri tersebut dalam masa terdekat,” jelas beliau.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, KKM telah memulakan langkah-langkah kesiapsiagaan bagi perawatan dan pemulihan pesakit COVID-19 termasuk di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu MAEPS 2.0 (PKRC Bersepadu MAEPS 2.0).
Antara langkah segera dan akan dilaksanakan KKM termasuk melengkapkan wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah dengan sejumlah 60 katil dan peralatan tambahan yang dianggarkan berjumlah RM1.1 juta bagi meningkatkan lagi keupayaan hospital tersebut menerima pesakit khususnya COVID-19.
“KKM turut menubuhkan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama ATM di hospital berkenaan,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

