PEMUDA UMNO Kota Raja bersama NGO Pertubuhan Integrasi Nasional menyumbang sebuah kontena beku untuk kegunaan simpanan mayat-mayat pesakit COVID-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, semalam.
Ketua pergerakan itu, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkata beliau mengambil inisiatif tersebut setelah melihat pusat simpanan mayat pesakit COVID-19 di hospital berkenaan semakin kekurangan ruang penyimpanan.
“Bagi tidak memanjangkan hal tersebut, tanpa berfikir panjang, saya terus mendapatkan kontena sejuk beku yang boleh memuatkan hampir 100 mayat dalam satu-satu masa dan menghantarnya ke bahagian kecemasan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Sheikh Weshal berkata, disebabkan rasa prihatin tidak mahu mayat-mayat yang semakin banyak dan berbau busuk, beliau tergerak hati untuk menghulurkan bantuan tersebut walaupun berlaku sedikit salah faham bersama pihak hospital pada peringkat permulaan.
“Apapun, saya berterima kasih kepada pihak Pengarah Hospital Klang dan pegawai kerana sudi menerima sumbangan kami, Pemuda Kota Raja dan Selangor,” katanya.
Katanya, beliau berharap agar kerajaan negeri dan Malaysia dapat segera menangani kes COVID-19 terutamanya di Selangor dengan sebaiknya dan meminta agar dihentikan serta-merta pengoperasian kilang-kilang buat sementara waktu.
“Nyawa manusia lebih berharga berbanding masalah lainnya. Tolonglah tangani isu ini dengan berkesan. Kami amat bersimpati dengan kepenatan dan tekanan yang dialami para barisan hadapan, katanya. – UtusanTV
_______________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

