SERAMAI 1,190 petugas kesihatan telah pun ditambah segera untuk ditempatkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bagi menangani lonjakan kes COVID-19 di ketiga-tiga negeri tersebut.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Mohd. Shafiq Abdullah berkata, penambahan petugas itu bagi menyokong petugas kesihatan tetap dan kontrak yang telah pun berada di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Kata beliau, KKM juga telah memobilisasikan seramai 417 lagi petugas kesihatan dari negeri lain ke Lembah Klang serta Negeri Sembilan.
Selain itu, Mohd. Shafiq memaklumkan, kira-kira 5,000 sukarelawan turut ditambah bagi menyokong penyampaian perkhidmatan di ketiga-tiga negeri tersebut.
Menurut beliau, KKM juga telah membelanjakan sebanyak RM700 juta di seluruh negara.
“Dari segi kewangan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah maklumkan pagi tadi bahawa KKM telah memohon kepada Kementerian Kewangan bajet tambahan sebanyak RM1.2 bilion untuk menampung operasi membendung COVID-19.
Baca artikel berkaitan: PKRC MAEPS 2.0 kini dijadikan hospital bersepadu – Adham
“Semua perbelanjaan yang telah kita laksanakan ini pun adalah secara darurat memandangkan kepentingan untuk bertindak segera,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafiq berkata, KKM turut menambah peruntukan bagi pengurusan COVID-19 di Lembah Klang bagi aktiviti kelengkapan wad, penambahan ruang hospital dan bayaran elaun COVID-19 bagi kakitangan kesihatan.
Katanya, penambahan peruntukan itu termasuk aktiviti penyumberluaran berjumlah RM100 juta dan pengurusan kesihatan mental sebanyak RM20 juta yang diumumkan Perdana Menteri.
Beliau berkata, bayaran elaun sebanyak RM1,000 sebulan juga akan diberikan kepada kakitangan kesihatan yang bertugas di unit rawatan rapi (ICU).
“Selain itu, KKM juga menambah kelengkapan sebanyak 151 katil dan ventilator di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dengan peruntukan RM5 juta di samping penambahan ruang-ruang hospital di Selangor juga sebanyak RM5 juta.
“Kita juga sedang meneliti penambahan katil modular unit rawatan rapi (ICU) di HTAR, Hospital Selayang dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
“KKM juga telah memohon penyediaan taska bagi menempatkan anak-anak petugas dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta di samping RM2 juta bagi pusat kuarantin khas petugas barisan hadapan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

