SERAMAI 204 petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam disahkan telah dijangkiti COVID-19.
Perkara itu disahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dalam sidang media khas hari ini.
Menurut Khairy, jumlah berkenaan adalah sebahagian besar daripada keseluruhan 453 individu yang bertugas di PPV tersebut.
Kata beliau, daripada jumlah tersebut seramai 88 peratus atau 400 individu telah pun divaksinasi manakala 12 peratus lagi belum menerima vaksin.
Namun begitu, Khairy memaklumkan, keputusan ujian saringan kesemua yang disahkan positif mendapati nilai kitaran ambang adalah lebih daripada 35, iaitu mempunyai beban virus yang rendah.
“Saya telah mengarahkan supaya satu ujian saringan beramai-ramai ke atas petugas IDCC dibuat sebaik sahaja kami mendapat laporan mengenai dua sukarelawan yang disahkan positif.
“Ujian ini telah dijalankan pada 10 Julai melibatkan kesemua petugas. Susulan langkah ini, setakat ini seramai 204 petugas telah didapati positif.
Baca artikel berkaitan: Petugas positif, penerima vaksin di IDCC Shah Alam diminta buat penilaian kendiri
“Sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai keputusan saringan pada pukul 11 malam tadi daripada makmal Institut Genome Malaysia (MGI), saya telah mengarahkan penutupan serta-merta IDCC selama satu hari supaya kerja sanitasi dapat dijalankan pihak bomba.
“PPV IDCC akan dibuka semula esok,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.
PPV IDCC telah diarahkan ditutup selama satu hari, hari ini bagi proses sanitasi selepas petugas didapati positif COVID-19.
Penutupan selama sehari itu seperti dimaklumkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan tengah malam tadi.
Menurut kenyataan itu, langkah segera menutup PPV berkenaan setelah memperoleh keputusan ujian COVID-19 petugas terlibat malam tadi.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, selain mengarahkan penutupan IDCC, pihaknya turut mengambil langkah pantas lain bagi memastikan proses pemberian vaksin terus berjalan lancar.
Katanya, beliau telah mengarahkan supaya makluman kepada mereka yang mempunyai janji temu pada hari ini supaya menerima notis penutupan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial di samping memperoleh tarikh janji temu baharu.
Beliau berkata, petugas CITF juga telah diarahkan ke IDCC hari ini bagi membantu mereka yang tidak menyedari penutupan tersebut supaya dapat hadir ke tarikh baharu yang telah diberi.
“Selain itu, saya juga telah mengarahkan semua petugas PPV IDCC diasingkan dan menukar dengan pasukan petugas baharu sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi jangkitan dapat dikurangkan.
“Saya juga telah mengarahkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV IDCC,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

