SUSULAN petugas positif COVID-19, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam ditutup hari ini.
Penutupan selama sehari itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan seperti dimaklumkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan tengah malam tadi.
Menurut kenyataan itu, langkah segera menutup PPV berkenaan setelah memperoleh keputusan ujian COVID-19 petugas terlibat malam tadi.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, CITF juga menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi di IDCC antara 29 Jun hingga 12 Julai lalu untuk membuat penilaian kendiri.
“Sekiranya bergejala, jalani ujian saringan COVID-19,” kata CITF.
Jelas kenyataan itu, susulan penutupan PPV IDCC hari ini, janji temu diberikan untuk 13 Julai akan dijadualkan semula kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan secepat mungkin.
Kata CITF, butiran lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa manakala sebarang pertanyaan boleh diajukan ke talian 03-88934303.
Pada sidang akhbar pagi ini, CITF memaklumkan terdapat 204 petugas PPV IDCC Shah Alam disahkan telah dijangkiti COVID-19.
Perkara itu disahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dalam sidang media khas hari ini.
Baca artikel berkaitan:204 petugas PPV IDCC didapati positif COVID-19
Menurut Khairy, jumlah berkenaan adalah sebahagian besar daripada keseluruhan 453 individu yang bertugas di PPV tersebut.
Kata beliau, daripada jumlah tersebut seramai 88 peratus atau 400 individu telah pun divaksinasi manakala 12 peratus lagi belum menerima vaksin.
IDCC antara empat PPV Mega di Lembah Klang yang terawal dibuka pada hujung Mei lalu.
Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Proses PPV di IDCC cekap, pantas
Awal bulan ini, proses vaksinasi PPV Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) dekat Serdang juga terhenti beberapa jam selepas seorang individu positif COVID-19 dikesan hadir ke situ.
CITF dalam satu kenyataan ringkas pada 7 Julai, berkata seorang wanita yang mempunyai janji temu di PPV MIECC, hadir pada tarikh berkenaan dan hanya mengetahui bahawa beliau adalah positif COVID-19 selepas tiba di PPV berkenaan apabila dihubungi pusat perubatan yang menjalankan ujian COVID-19 terhadapnya.
Wanita itu dikatakan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sehari sebelum ke PPV MIECC bagi mendapatkan suntikan vaksin.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

