Menatap ke langit, awan yang berbalam-balam sering memberi keindahan dekorasi untuk tatapan mata kita. Namun, tidak kurang juga bentuk-bentuk awan yang pernah dirakam kelihatan bagai rupa yang menakutkan.
Di negara yang sering dilanda ribut seperti Amerika Syarikat umpamanya, kemunculan awan betina yang dipanggil ‘Mammatus Cloud’ merupakan antara fenomena aneh alam semula jadi yang begitu menakjubkan. Awan ini muncul dengan rupa berbonjol-bonjol, atau seperti gegelembung buih.

Mammatus dengan kata lain juga dikenali sebagai mammatocumulus. Istilah meteorologi ini berasal dari Bahasa Latin, iaitu Mamma yang bermaksud ‘payudara’. Pengistilahan ini mengambil kira dari segi rupa bentuk awan tersebut yang dikatakan memiliki persamaan dengan ‘aset’ berharga kaum wanita.
Pun begitu, setiap kali kemunculan awan ini di dada langit, jangan tertipu dengan keindahannya. Awan ini tidak selembut karakternya. Awan ini disifatkan ganas dan menakutkan.

Ahli meteorologi bernama Peter Gibbs menjelaskan, formasi awan ganjil ini biasanya akan diiringi cuaca ekstrem seperti ribut petir yang sangat kuat. Sebab itu jika awan ini muncul, penduduk di kawasan itu akan bersiap siaga tanda kawasan mereka akan dilanda ribut.

Ketika ribut melanda, udara persekitaran berubah menjadi lembap kerana mengandungi molekul air. Wap-wap air di udara ini kemudian ditarik ke atas awan kumulonimbus.
Oleh kerana berlaku proses penyejukan, wap air tadi lazimnya membeku menjadi ais, lalu membentuk gumpalan mammatus. Boleh jadi juga ia berisi campuran ais dan air atau hampir keseluruhannya terdiri daripada air. Diameter awan bonggol ini rata-rata berukuran satu hingga tiga kilometer. Panjangnya pula lebih kurang 0.5 kilometer.

Sayang sekali, kemunculan awan ini hanya dapat diamati di langit sekitar lebih kurang lima hingga sepuluh minit saja.
Formasi unik ini juga boleh ditemui pada semua jenis awan, termasuklah di bawah awan altokumulus, altostratus, stratocumulus dan sirus. Namun, awan mammatus ini tampak lebih dramatik apabila terbentuk di bawah awan kumulonimbus.
Di Malaysia kita tidak dapat melihat kewujudan awan ini kerana faktor iklim dan cuaca yang berbeza.

_____________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam

