BERMULA Ahad ini, penduduk Kelantan khasnya penerima dos pertama vaksin tidak lagi menerima vaksin Sinovac di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.
Ini selepas Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) memutuskan untuk menghentikan pengagihan vaksin Sinovac dengan menggantikannya dengan vaksin Pfizer.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, bekalan vaksin Sinovac akan ditamatkan mulai akhir Julai ini.
Katanya, bermula 18 Julai ini, semua PPV hanya akan dibekal dengan dos kedua vaksin Sinovac.
“Tiada lagi bekalan untuk dos pertama mulai tarikh berkenaan,” katanya menerusi notis pemberitahuan yang bertarikh 13 Julai.
Bagaimanapun Dr Zaini enggan menyatakan sebab mengapa penggunaan vaksin Sinovac di Kelantan dihentikan.
Langkah itu jelas beliau tidak membabitkan pengurangan bekalan vaksin kepada negeri berkenaan.
“Selepas ini Kelantan hanya gunakan Pfizer sahaja,” tambahnya.

