MANUSIA tidak akan pernah berhenti mengata yang bukan-bukan tentang kelemahan orang lain. Produktiviti kerja saling berkait rapat dengan persekitaran tempat kerja sama ada positif dan negatif.
Salah satu punca kepada tekanan (stres) di pejabat adalah gosip. Awas, bukan artis sahaja yang perlu berhadapan dengan gosip ataupun umpatan, bahkan kita sebagai insan biasa pun tidak dapat lari daripada kenyataan sebegitu.
Semakin kita berjaya, semakin ramai yang akan mencemburui. Mungkin di hadapan anda, tiada yang berani bersuara tetapi berlainan pula yang terjadi di belakang anda, mereka rupa-rupanya mengumpat dan membawa cerita yang tidak benar sehingga menyentuh soal peribadi anda.
Oleh itu, selalulah mengambil langkah berhati-hati terutama sekali apabila anda menjadi mangsa keadaan. Sentiasa berfikiran positif dan kekalkan prestasi kerja anda yang cemerlang sampai bila-bila walaupun hati anda mungkin sedikit terganggu dengan umpatan teman sekerja.

CARI PUNCA KHABAR ANGIN
Cuba cari punca daripada mana datangnya gosip yang timbul bagi memudahkan anda berbuat sesuatu untuk menghentikannya. Apabila sudah mengetahui siapa teman sekerja tersebut, ambil tahu niat sebenarnya berbuat demikian.
Pasti banyak versi yang bakal anda dengar daripada sebuah gosip. Tiada faedahnya mencampuri urusan orang lain yang mempunyai prinsip dan pandangan tersendiri dalam sesuatu perkara.
BERHENTI DARIPADA MENGUMPAT
Anda sedang berbual-bual kosong dengan sekumpulan teman sepejabat semasa waktu rehat. Tiba-tiba sahaja terdapat salah seorang daripada mereka mengumpat tentang rakan yang lain.
Cuba hentikan sebelum perbualan tersebut tidak diutarakan dengan lebih lanjut lagi. Tegur dan ubah tajuk perbualan dengan menggunakan ayat-ayat yang positif agar mereka perasan anda tidak selesa berbual tentang perkara yang tidak membawa sebarang faedah.

ELAKKAN DARIPADA TERSEBAR
Kebanyakan organisasi besar melakukan pemeriksaan secara rambang terhadap para kakitangannya menerusi e-mel. Memang benar, mereka masih boleh mengumpat tentang sesuatu perkara tetapi ia akan tersebar luas melalui internet berbanding dari mulut ke mulut.
Kaedah ini juga amat berkesan dalam mengatasi gosip di pejabat daripada menjadi semakin teruk.
JAGA REPUTASI DIRI
Ingatkan diri sendiri dan juga teman lain yang amalan mengumpat sesama sendiri hanya akan menjejaskan kredibiliti sebagai kakitangan di situ.
Sebagai contoh, anda sering bertemu dengan majikan secara peribadi sekadar untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai tugas. Tetapi ia disalah anggap sebagai ‘mengipas’ oleh rakan sepejabat. Gosip sebegini bukan sahaja menjejaskan reputasi anda, bahkan menyekat kemajuan diri anda di organisasi berkenaan.

BERBUAT BAIK DENGAN ‘LAWAN’
Jika anda yang menjadi bahan umpatan, ‘lawan’ secara tidak langsung. Caranya mudah, berbuat baiklah kepada individu yang mengumpat anda. Tegur dan sekali-sekala, berbual tanpa mengungkit langsung tentang perbuatan buruknya terhadap anda selama ini.
Lama-kelamaan, sudah pasti dia akan terasa malu sendiri apabila menyedari rupa-rupanya anda bukanlah seburuk seperti yang disangka
BIARKAN IA BERLALU SENDIRI
Jangan membesar-besarkan cerita tidak benar yang anda dengar, tidak kiralah sama ada ia melibatkan anda ataupun rakan pejabat yang lain.
Mereka yang suka menjaja cerita yang bukan-bukan tentang anda akan berhenti sendiri apabila melihat anda tidak mengendahkan khabar angin yang dicipta untuk menjatuhkan imej dan maruah.
KAJI KELEMAHAN DIRI
Adakah cerita yang anda dengar tentang teman sepejabat berkaitan dengan kejayaan atau perjalanan kerjayanya? Jika ya, memang tiada salahnya anda dan juga teman memperkatakannya kerana ia boleh dijadikan sebagai contoh teladan.
Pandang seseorang daripada sudut positif berbanding negatif. Ini penting agar anda tidak lari fokus dalam menjalankan tugasan dengan baik dan sekali gus, mengkaji kelemahan diri sendiri ke arah mencapai produktiviti yang cemerlang.

JANGAN LUKAKAN PERASAAN ORANG LAIN
Cerita yang buruk-buruk memang cepat tersebar di kalangan rakan-rakan sekerja. Jangan lupa, ada yang terluka dan terguris perasaan jika menjadi mangsa umpatan kawan sendiri.
Maklumat salah dalam khabar angin boleh menjejaskan kehidupan seseorang. Jadi, jangan mulakan cerita yang tidak benar dan membuatkan orang tertekan dengan sikap pentingkan diri anda itu. Tidak elok menyeksa hidup insan lain yang tidak pernah mengganggu kehidupan anda selama ini.
ADA PERKARA LAIN LEBIH PENTING
Banyak tenaga dan masa yang perlu anda korbankan untuk mendengar gosip di tempat kerja. Manakan tidak, anda perlu duduk berjam-jam bersembang semata-mata mahu mendengar dan memastikan semua kakitangan dalam pejabat mendengar cerita yang sedang tersebar.
Bukankah lebih baik anda mengisi waktu yang ada untuk membereskan kerja yang bertimbun-timbun daripada membawa mulut?
MUNGKIN SI PENGUMPAT INGINKAN PERHATIAN
Jika anda amati betul-betul kepada karakteristik orang yang suka mengumpat dan membawa gosip, anda akan mendapati dia sebenarnya mahukan perhatian kerana tiada sesiapa yang memperdulikan kehadirannya.
Oleh sebab itulah, dia mencipta sesuatu untuk menarik tumpuan anda terhadapnya.