upsi gerobok

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan bantuan dengan menyediakan barangan keperluan asas berbentuk makanan kering kepada pelajar, pekerja dan penduduk komuniti setempat sekitar daerah itu.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, usaha itu digerakkan oleh pihaknya sebagai salah satu inisiatif pusat pengajian terulung itu yang cakna terhadap kebajikan warganya berdasarkan keadaan semasa.

“Sebagai sebuah universiti yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar dan warganya, UPSI telah melaksanakan pelbagai inisiatif di setiap peringkat pengurusan bagi membantu keperluan semasa apatah lagi ketika masa-masa sukar sejak wabak pandemik melanda seluruh dunia tahun lepas,” jelas beliau ketika pelancaran baru-baru ini.

Pelbagai inisiatif berbentuk kebajikan telah dilaksanakan melalui wakaf dan endownment, selain pelaksanaan kempen pemotongan gaji untuk membantu pelajar berkeperluan khas dan B40 melalui Tabung Alumni Care serta tabung kebajikan pekerja dilancarkan, kali ini UPSI tampil dengan pelaksanaan yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat melalui kaedah yang sama.

“Hubungan akrab antara UPSI dan warga Tanjung Malim ibarat isi dengan kuku, mungkin ada juga di kalangan masyarakat hidup susah, tetapi malu untuk meminta-meminta. Sesuai dengan konsep ‘Ambil jika perlu, beri jika mampu’, diharapkan kehadiran ‘Gerobok [email protected]’ yang terletak di bahagian pintu masuk bahaigan timur Kampus Sultan Abdul Jalil, Tanjung Malim, ini memberi sedikit sinar tanpa mereka perlu meminta izin mendapatkan barangan keperluan demi mengisi perut yang lapar,” tambah beliau lagi.

Menurut Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman, Pendaftar UPSI yang turut hadir pada pelancaran menyambut baik pelaksanaan yang dilakukan oleh pihak pengurusan Universiti dengan kerjasama jabatan-jabatan pentadbiran seperti Bahagian Sumber Manusia, Unit Kediaman Luar Kampus, Pusat Alumni dan Bahagian Komunikasi Korporat berganding bahu mendapatkan dana dan melestarikan antara hubungan universiti serta masyarakat setempat.

“Kerjasama yang ditampilkan jabatan-jabatan pentadbiran wajar dikembang dan diteruskan supaya dapat membuka mata komuniti berhampiran bahawa mereka tidak bersendirian menghadapi waktu-waktu sukar sebegini. Sesuai juga penglibatan Gerobok [email protected] dengan komuniti, saya juga menyeru kepada sesiapa yang mahu berkongsi rezeki dengan menyumbang barangan keperluan kepada ruang kecil agar sama-sama merasai nikmat memberi kepada yang memerlukan,” jelas beliau dalam kenyataannya.

Menurut Helmi lagi, pihaknya bercadang untuk menambah lagi beberapa rak Gerobok [email protected] di beberapa bahagian berhampiran kampus sekiranya mendapat sokongan warga komuniti setempat. Jika anda mahu menyumbang atau sebarang pertanyaan, boleh hubungi di talian +60 17-667 8299 atau +6017-660 9623 dan +6010-817 6599.