Kajian semula model operasi TH untuk tambah baik tadbir urus

Dari Penulis

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, kajian semula model operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bertujuan memastikan isu tadbir urus, integriti dan reputasi TH ditambah baik pada masa akan datang.

Katanya, semakan semula Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) adalah bagi memastikan kemampanan dan daya maju institusi kewangan itu pada masa hadapan sebagai asas perlindungan kepada semua pendeposit TH.

“Kerajaan komited bahawa simpanan pendeposit TH yang kini telah mencecah RM80 billion dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

“TH kini berada di landasan terbaik dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh serta stabil dan kita akan tambah baik tadbir urus serta operasi TH melalui rangka kerja pengawalseliaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Beliau berkatat demikian selepas  majlis sumbangan kotak makanan di Masjid Al-Hasanah, di Bangi, hari ini lapor BERNAMA.

Tengku Zafrul turut melawat Pusat Pemberian Vaksi di Stadium Bukin Jalil, hari ini.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh yang melibatkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta 535.

Jemaah Menteri turut bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.

Tengku Zafrul berkata, BNM mempunyai Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam serta Majlis Penasihat Shariah dianggotai individu berpengalaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kajian menyeluruh oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Menteri Hal Ehwal Agama, Kementerian Kewangan dan TH akan dilakukan untuk menilai model baharu yang dicadangkan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat Kabinet yang akan mengambil kira kapasiti sedia ada termasuk aset, liabiliti dan kepakaran sumber manusia TH,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul menyampaikan 1,000 kotak makanan yang disumbangkan oleh Bank Simpanan Nasional kepada keluarga memerlukan di sekitar Bandar Baru Bangi.

Sumbangan kotak makanan ini merangkumi pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan makanan kering bernilai RM100 setiap satu telah diagihkan menerusi wakil-wakil dari masjid, surau dan pertubuhan bukan kerajaan di sekitar Bangi.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Ajinomoto kukuh komitmen gaya hidup sihat di NMM 2026

AJINOMOTO (Malaysia) Berhad memperkukuh komitmen dalam mempromosi pemakanan seimbang, gaya hidup aktif dan kesejahteraan masyarakat dengan sekali lagi tampil...

More Articles Like This