SERING DICERITAKAN bahawa di Tanah Suci itu yang ada bukan hanya manusia. Manusia kita lihat sedang beribadah, berihram, tawaf, sai dan berjalan bersama para jemaah, sebenarnya bukan manusia seperti kita. Mereka ialah…

Ada juga yang mengatakan, manusia-manusia yang aneh itu adalah insan seperti kita. Namun, mereka adalah wali-wali Allah kerana dekatnya hubungan dengan Yang Maha Esa.

Tidak kurang juga yang mengatakan barangkali yang dilihat itu sebenarnya malaikat dan jin, yang turut bersama manusia beribadah kepada Allah. Benarkah begitu?

Ikuti kisah aneh ini yang kongsi oleh Haji Mokhtar Sulaiman, dan mungkin anda ada kesimpulan sendiri. Kisahnya bermula begini…

SUATU hari, saya memasuki kawasan Masjidilharam. Waktu itu selepas solat Zuhur. Ketika itu musim panas iaitu sekitar bulan Ogos 2008. Sebaik berada di sana, saya melihat seorang lelaki kulit hitam berambut keriting sedang solat. Lelaki ini gayanya seperti jemaah dari Afrika.

Lelaki ini mengenakan kain ihram hanya bahagian sebelah bawah sahaja. Manakala kain ihram sebelah atas tidak dipakainya. Jadi, badannya terdedah kepada terik cahaya matahari.

Saya lihat, lelaki ini masuk ke kawasan Hijr Ismail. Saya memerhatikan gerak-gerinya. Ada sedikit keanehan pada lelaki ini. Mengapa pada musim panas terik seperti itu dia tidak menutup badannya dengan kain ihram?

Lelaki ini kemudian solat sunat seorang diri. Setiap langkah dalam solatnya dilakukan dengan perlahan-lahan dan lama. Dia juga rukuk dan iktidal, begitu lama.  Malah, paling menarik perhatian saya ialah ketika lelaki itu sujud. Sujudnya lama sungguh.

Jika saya sendiri, untuk sujud 30 saat pun tidak mampu kerana haba kepanasan yang melampau, tapi anehnya, lelaki ini boleh sujud lama. Berminit-minit.

Saya tidak dapat bayangkan betapa panasnya waktu itu. Maklumlah berada pada musim panas, di kawasan padang pasir dan solat pula di tempat yang tidak berbumbung. Tentulah, kita tidak mampu untuk sujud lama. Begitu juga dengan jemaah-jemaah yang lain.

Walaupun ketika itu panas terik, lelaki tua berkulit hitam itu solat dan sujud begitu lama. Dia begitu khusyuk, seolah-olah tidak merasai bahang cahaya matahari yang bagaikan membakar kulit.

Saya perhatikan sujud mereka sekejap sahaja, kemudian bangun. Peliknya, lelaki kulit hitam ini sujud lama, seolah-olah dia berada di dalam masjid yang berbumbung dan mempunyai pendingin hawa.

Selesai satu solat sunat, beliau ulang lagi solat dan setiap kali solat, begitu juga keadaannya. Sentiasa sujud lama. Sepanjang pemerhatian saya, lelaki ini juga berdoa panjang.

Sesudah sembahyang, dia baring di atas lantai, mungkin untuk merehatkan diri. Bayangkan, di tengah panas terik , tiada sesiapa yang sanggup berbaring di situ. Malah bukan sekadar berbaring, dia menggolekkan badannya ke kiri dan ke kanan dalam keadaan badannya tidak berlapik dengan kain ihram.

Kejadian itu bukan berlaku sekali. Malah selepas pertemuan yang pertama, saya menemui lagi lelaki ini pada hari-hari berikutnya. Aneh, begitu jugalah lakunya yang sujud lama di musim panas.

Saya merasakan ada sesuatu keistimewaan pada lelaki berkulit hitam ini. Tapi, saya takut hendak menelah atau mentafsirkan waktu itu, bimbang tersilap.

SUATU HARI, saya dan ahli jemaah hendak pergi ke Tana’im. Di miqat itulah jemaah memasang niat umrah. Kami menaiki bas di Syu’aib Ali. Perjalanan itu sejauh lebih kurang tujuh kilometer. Di tengah perjalanan bas itu melalui kawasan perkuburan Ma’ala.

Semasa melintasi perkuburan itu, tiba-tiba saya ternampak seorang lelaki kulit hitam sedang berjalan kaki. Saya memerhatikan lelaki itu. Memang sah! Beliau adalah lelaki yang bersujud lama di Hijr Ismail tempoh hari.

Sampai sahaja di miqat Tana’im, kami turun dari bas. Mata saya terpaku kerana melihat lelaki kulit hitam tadi sudah terpacak di situ. Dia yang berjalan kaki sampai dahulu daripada kami!

Pelik, bagaimana dia yang berjalan kaki boleh sampai dahulu? Sedangkan jaraknya jauh. Logik akal memang tidak boleh terima.

Gambar hiasan : Bagaimana lelaki tua berkulit hitam itu boleh berada di Tana’im, sedangkan tadi saya nampak dia sedang berjalan kaki berhampiran perkuburan Ma’ala? Macam mana dia boleh sampai lebih dahulu daripada saya, sedangkan saya menaiki bas dan dia berjalan kaki?

Setelah selesai urusan berniat umrah di Tana’im, kami pulang ke Mekah. Ketika itu saya lihat lelaki kulit hitam ini masih di Tana’im. Sampai sahaja di Mekah yang jaraknya sekitar tujuh kilometer, sekali lagi saya terkejut apabila melihat lelaki kulit hitam tadi sudah berada di Masjidilharam semula! Ya-Allah, siapa lelaki ini. Adakah dia…!!

Sampai di Masjidilharam, saya segera mengerjakan sai. Selesai sai, saya berhajat untuk bertemu lelaki kulit hitam tersebut. Sejak melihat keadaannya tidak memakai ihram lengkap, saya berhajat untuk bersedekah kepada beliau.

Kebiasaannya jemaah haji atau umrah dari Afrika ini kalangan orang yang susah dan mereka sangat memerlukan bantuan. Jika kita hulur bantuan, pasti mereka segera ambil. Ini sudah menjadi kebiasaan bagi jemaah berkulit hitam yang saya temui sebelum ini.

Saya merapati lelaki ini. Apabila hampir dengannya, saya dapat  melihat dengan jelas wajahnya yang sangat bersih dan berseri-seri. Kain ihramnya sangat lusuh. Kelihatan lelaki ini berusia sekitar 70-an.

Saya memberi salam, lalu menghulurkan sedikit wang kepadanya. Lelaki ini mendongakkan kepala dan menggeleng-geleng sambil memberi isyarat tangan bahawa dia tidak perlukan wang tersebut.

Saya terkejut. Mengapa lelaki ini enggan menerima wang sedekah! Kalau dia tidak mahu, mengapa kain ihramnya lusuh?

Apabila saya sampai di Masjidilharam, saya lihat lelaki itu sudah sampai terlebih dahulu. Aneh, sebab tadi dia berada di Tana’im. Ihramnya lusuh, namun apabila diberikan wang, dia enggan menerimanya.

Sejak tahun 1979 lagi saya sudah membawa jemaah haji dan umrah. Saya amat mengenali golongan berkulit hitam ini yang tidak pernah menolak sebarang bentuk sedekah. Tetapi lelaki kulit hitam di hadapan saya ini sangat luar biasa. Dia menolak sedekah yang diberikan.

Pelbagai persoalan bermain-main di fikiran saya waktu itu. Antara yang terlintas di fikiran saya adalah kata-kata Imam Al-Ghazali bahawa: “Jika kamu melihat seorang manusia terbang di udara dan berjalan di atas air, sedangkan dia melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak, maka hendaklah kamu ketahui bahawa sesungguhnya itu adalah syaitan.”

Tetapi lelaki ini kuat beribadat. Berdasarkan tiga kejadian aneh tersebut iaitu beliau boleh sujud lama di musim panas, berjalan laju menuju ke Tana’im dan tidak menerima sedekah, saya berat mengatakan lelaki ini bukan sembarangan orang. Mungkinkah dia seorang wali Allah? Atau…

Sememangnya wali Allah diberikan karamahnya yang tersendiri. Golongan ini mungkin ramai di Kota Mekah, tetapi jarang yang menyedarinya. Beruntunglah sesiapa yang dapat menemui wali-wali ini yang tidak cintakan dunia.

Siapa mereka? Manusia, jin, malaikat, atau…

Peristiwa ini cukup menginsafkan saya. Walaupun kulitnya hitam dan kelihatan miskin, tetapi dia tidak perlukan harta dunia. Apa yang dimahukan lelaki itu adakah semata-mata mendekatkan diri dengan Allah serta mendapat keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat.

“Bahawa engkau beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia (Allah) melihat engkau.” – (Hadis riwayat Muslim).

Pencerita: Haji Mokhtar Sulaiman

————————————————————

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en #utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam