kelebihan melaksanakan ibadah korban
Sumber: 1Media.my

Alhamdulillah, hari ini umat Islam di Malaysia meraikan hari raya Aidiladha atau hari raya haji, walaupun dalam suasana yang sangat muram kerana tidak dapat meraikannya bersama keluarga tersayang dan terpaksa mematuhi SOP yang ketat. Semuanya bagi menjamin keselamatan kita dalam mengekang wabak covid 19 yang masih tidak reda.

Dalam meraikan hari mulia ini, terdapat dua ibadah utama yang sering dikaitkan dengan Aidiladha iaitu seruan melaksanakan ibadah haji dan ibadah korban. Walaupun kedua ibadah ini berbeza dari sudut amalan dan perlaksanaannya, namun persamaan bagi kedua ibadah ini adalah dari sudut kemampuan diri.

Bermakna, syariat Islam melihat kemampuan individu sebagai titik mula kepada perlaksanaan ibadah yang dijanjikan ganjaran yang sangat besar oleh Allah S.W.T. Perintah korban atau menyembelih haiwan telah disyariatkan oleh Allah kepada umat Islam pada tahun ke-2 Hijrah bersamaan dengan solat Aidiladha dan ibadah zakat.

Firman Allah surah al-Kauthsar: 2,

“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah.”

Ibnu Jarir mentafsirkan ayat ini dengan berkata, “Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”

Malah Baginda s.a.w. turut bersabda,

“Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Aidiladha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu bahagiakanlah dirimu dengannya.” – HR Tirmizi, Ibnu Majah & Hakim

Hukum Korban

Melaksanakan ibadah korban hukumnya adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut. Walau bagaimanapun sebahagian ulama mazhab Hanafi berpendapat hukumnya wajib bagi orang yang cukup nasab zakat. Ia bersandarkan pada hadis Baginda s.a.w.

Barangsiapa yang berkelebihan (dalam harta) tetapi tidak menyembelih haiwan korban, janganlah dia mendekati masjidku.” – HR Ahmad & Ibnu Majah

Bagi yang ingin melaksanakan ibadah korban, bermula dari 1 Dzulhijjah sehingga pengesahan ternakan korbannya disembelih, orang yang berkorban disunatkan untuk tidak memotong rambut di kepalanya, wajahnya atau badannya dan memotong kuku sehingga selesai korbannya.

Antara hikmah larangan tersebut menurut Imam Nawawi ialah supaya anggota yang terdapat pada badannya itu semua akan dibebaskan daripada api neraka. Malah ada pendapat yang lemah mengatakan untuk menyerupai orang yang berada dalam keadaan ihram di mana dia diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain.

Malah bagi yang ingin melaksanakan ibadah korban juga tidak ada niat khusus untuk dibaca sepertimana niat mendirikan solat. Cukup hanya sekadar disebutkan dalam hati,

“Sahaja aku melakukan korban sunat kerana Allah Taala.”

Fadilat Korban

Terdapat banyak fadilat dan kelebihan bagi orang melaksanakan korban antaranya:

Pertama, meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Di dalam al-Quran Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah al-Hajj: 37  bahawa hanya amalan korban yang ikhlas dan dilakukan atas dasar takwa akan diterima oleh-Nya.

Setiap helai bulu binatang korban dianggap satu kebaikan. Masya Allah pemurahnya Allah SWT.

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sesekali akan sampai kepada Allah tetapi yang sampai kepada Nya adalah amal yang ihklas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

Kedua, mendapat limpahan kebaikan

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiada helai bulu (dari binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” – HR Ibnu Majah

Semoga bagi mereka yang sanggup melaksanakan ibadah korban pada tahun ini akan beroleh ganjaran yang sangat besar dari Allah S.W.T. Wallahu a’lam

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram