BEBERAPA hari lalu, isu suntikan vaksin kosong heboh diperkatakan dengan tiga dakwaan orang awam mengenai perkara itu tular dalam media sosial.
Isu tersebut telah membuatkan orang ramai sama ada yang telah atau belum menerima vaksin berasa bimbang.
Namun kenyataan dikeluarkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) semalam sedikit sebanyak melegakan hati semua pihak.
Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), kata CITF, setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari berisi vaksin kepada penerima sebelum suntikan dilakukan.
Orang ramai juga, katanya, disarankan melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos serta suntikan vaksin telah diberikan seperti sepatutnya.
Hari ini pula, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberi jaminan sesiapa yang telah terbukti diberikan suntikan vaksin kosong akan menerima suntikan baharu.
Baca artikel berkaitan: Suntikan vaksin kosong, CITF ambil tindakan tatatertib
Memetik laporan BH Online, Dr. Adham berkata, pihaknya akan memanggil individu berkenaan untuk menerima suntikan semula.
“Dipanggil suntik semula,” katanya secara ringkas menerusi aplikasi WhatsApp seperti dipetik BH Online.
Semalam, CITF dalam kenyataan memaklumkan tindakan tatatertib telah diambil terhadap petugas di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Kedah berhubung isu suntikan vaksin kosong.
CITF berkata, kes itu berlaku di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah pada 17 Julai lalu.
CITF memaklumkan, dua lagi dakwaan suntikan vaksin kosong berlaku di Lembah Klang baru-baru ini.
Ia melibatkan PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 17 Julai lalu, dengan laporan polis dibuat orang awam, manakala penyedia perkhidmatan kesihatan membuat laporan polis berhubung dakwaan di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC).
“Polis sedang menjalankan siasatan. Sebarang perkembangan mengenai perkara ini akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa berkenaan.
“Sekiranya didapati bersalah, CITF tidak akan teragak-agak menamatkan perkhidmatan petugas terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini,’’ kata kenyataan itu lagi.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

