DATA perubatan berhubung pengunaan vaksin Sinovac dan Pfizer menunjukkan kedua-duanya mempunyai keberkesanan yang sama dalam melawan virus COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pada 7 Julai lalu ‘Jurnal Perubatan New England’ menerbitkan laporan mengenai pengalaman Chile menggunakan vaksin Sinovac dari Februari hingga Mei 2021.
“Laporan itu melihat kepada seramai 4.2 juta orang lengkap divaksin berbanding 5.5 juta penduduk tidak divaksin.
“Sinovac didapati mengurangkan 65.9 peratus jangkitan Covid-19, mengurangkan 87.5 peratus kemasukan hospital, mengurangkan kemasukan ICU (90.3 peratus) dan mengurangkan kematian (86.3 peratus),” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
BERITA BERKAITAN Tiada isu Pfizer ganti Sinovac, tempahan selesai dihantar – KJ
Beliau mengatakan bahawa Kementerian Kesihatan Israel juga telah menunjukkan baru-baru ini bahawa vaksin Pfizer mengurangkan jangkitan sebanyak 64 peratus terhadap COVID-19, tetapi 93 peratus berkesan terhadap kemasukan ke hospital dan penyakit serius.
Justeru, Noor Hisham berkata, tiada banyak beza antara vaksin Sinovac dan Pfizer kerana kedua-duanya sangat efektif dalam mencegah jangkitan yang teruk.
Sebelum ini, beliau berkata, pemberian suntikan vaksin COVID-19 di seluruh negara akan beralih kepada jenis Pfizer, susulan pertambahan bekalan pelalian berkenaan yang tiba di Malaysia.
Katanya, Malaysia ketika ini mempunyai tempahan bekalan vaksin Pfizer sebanyak 44.4 juta dos, untuk diagihkan kepada 22.2 juta penduduk.
Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan sesetengah negeri akan mula beralih kepada pemberian suntikan Pfizer, berbanding jenis lain termasuk Sinovac. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

