TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang merencatkan sebahagian aktiviti luar sebenarnya memberi hikmah buat aktor Aidil Aziz yang menggunakan peluang itu untuk meluangkan waktu bersama keluarga.
Menurut suami kepada pelakon Fasha Sandha itu, sejak setahun lalu, dia melakukan pelbagai aktiviti berfaedah bersama anak-anak dirumah.
“Saya bersyukur sebenarnya sebab sudah berkahwin dan ada anak-anak. Sekurang-kurangnya bila PKP dan kena berkurung di rumah, ada jugalah aktiviti yang boleh dilakukan bersama mereka.
“Dengan buat aktiviti berfaedah dengan keluarga, saya dapat lupakan masalah yang negara sedang alami ketika ini. Pada saya, kalau banyak sangat fikir, bimbang kesihatan mental diri sepeti tekanan dan kemurungan akan menganggu.
“Paling istimewa bila duduk rumah, saya dapat solat berjemaah bersama keluarga. Rutin harian saya dan isteri akan bermula seawal subuh.
“Kemudian selepas sarapan, uruskan kelas ‘online’ anak-ana. Kalau ada masa terluang, kami akan lakukan aktiviti bersenam bersama-sama,” katanya kepada URTV.
Aidil berkata demikian ketika sidang media drama lakonannya Suara Hati bersama Syafiq Kyle dan Hanna Aqeela yang diadakan secara maya baru-baru ini.
Sementara itu, Aidil,34, akui pendapatannya sedikit terjejas kerana industri seni kreatif masih lagi tidak dibenarkan untuk membuat penggambaran di luar.
Namun, dia beruntung kerana mempunyai perniagaan yang dijadikan sebagai pendapatan sampingan untuk membantu menyara ekonomi keluarga.
“Saya pandang dari sudut positif bila kerajaan laksanakan PKP sebab ini saja usaha untuk hentikan penularan Covid-19. Saya tak tahu bila akan dapat keluar bekerja di set penggambaran memandangkan kes harian melebihi 10,000.
“Saya kira, belum waktu yang sesuai pelakon seperti saya untuk keluar bekerja sebab terlalu berisiko…saya kena fikirkan faktor kesihatan diri dan keluarga.
“Kalau cakap fasal pendapatan, sejujurnya anak seni seperti saya memang akan terjejas. Bila ada penggambaran, maka pelakon termasuk kru produksi akan dapat sumber kewangan.
“Bila keadaan begini berlaku (PKP), memang tak dinafikan memang teruk terjejas. Cuma saya bersyukurlah sebab ada perniagaan yang sedikit sebanyak membantu kewangan,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

