MINUM minuman keras, air ketum serta menari dan berkaraoke di dalam bilik gelap yang dipasang lampu berputar bagaikan dalam disko.

Itu merupakan antara aktiviti tidak bemoral ditemukan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman semasa menyerbu sebuah balai polis dalam daerah Kajang, Selangor, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6 petang semalam hasil makluman orang awam itu, JIPS menahan seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam di premis berkenaan.
 Malah ketika serbuan, sebahagian daripada mereka dipercayai sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam sebuah bilik di tingkat dua balai tersebut.

Tidak cukup dengan itu, ada anggota polis dan wanita yang ditahan didapati sedang menari dan berkaraoke di dalam bilik gelap yang dipasang lampu berputar bagaikan dalam disko.

Polis kemudiannya menahan OCS berpangkat Sub Inspektor, dua Koperal dan seorang Koperal Sokongan serta empat wanita orang awam berusia antara 21 hingga 37 tahun.

Turut dirampas, botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan satu unit tv.

Selain itu, lima botol mengandungi air ketum serta gambar lucah salah seorang anggota yang ditahan bersama seorang wanita turut dirampas.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad sementara itu mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, tangkapan dibuat oleh pegawai dan anggota JIPS Bukit Aman selepas mendapati tindakan itu jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Tindakan pegawai, anggota dan orang awam terbabit yang berhibur di sebuah bilik di balai berkenaan dengan berkaraoke adalah menyalahi prosedur SOP Covid-19.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika mereka didapati melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan,” katanya  hari ini.

Beliau menambah, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil tindakan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Katanya, ini kerana perbuatan cuai itu mungkin boleh menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit yang boleh membahayakan nyawa.