JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk menyiasat anggota yang terlibat dalam video tular tangkapan pesalah di Kulim.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, jabatan itu juga diminta untuk mengkaji daripada aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika tangkapan dibuat.
Menurutnya, anggota terbabit juga telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sementara menunggu siasatan oleh pihak JIPS.
“Kita arahkan JIPS untuk siasat dan kaji dari segi pematuhan SOP tangkapan,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan lelaki yang videonya tular di media sosial telah bertindak agresif dengan menendang motosikal milik anggotanya selain menunggang secara berbahaya di jalan raya.
Tengku Mohd Faisal berkata, tangkapan ke atas suspek yang berusia 32 tahun itu berlaku di hadapan kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim.
Jelasnya, kejadian berlaku pada 11 pagi ketika anggota polis menjalankan rondaan cegah jenayah dan siasatan menemukan dua bungkus plastik lutsinar yang disyaki air rebusan daun ketum.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke balai untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ia positif dadah jenis Methampetamine.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

