
PENGERUSI Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Dr. Syed Hussian Syed Junid dianugerahkan Darjah Kedua Tertinggi Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri.
Ia bersempena sambutan Ulang Tahun ke-72 Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang sepatutnya disambut 10 Julai lalu.
Syed Hussian yang juga Pengerusi Operasi Western Digital (Malaysia) Sdn. Bhd. telah dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN).
Selain Syed Hussian, bekas Pengerusi Kumpulan Maybank yang kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Mohaiyani Shamsudin turut dianugerahkan DPPN membawa gelaran Datuk Seri.
Mendahului penerimaan Darjah Kebesaran Pulau Pinang tahun ini pula iaitu penganugerahan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang juga Darjah Kebesaran Tertinggi membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Baca artikel berkaitan: KP Kesihatan dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UKM
Ahmad Fuzi telah mengurniakan gelaran tersebut kepada seorang penerima iaitu isterinya, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.
Sambutan Ulang Tahun ke-72 Ahmad Fuzi telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak susulan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Mengikut senarai penerima yang akan diwartakan esok, 22 Julai 2021, seramai 1,036 individu akan menerima anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan Pulau Pinang.
Selain tiga tokoh bagi dua anugerah tertinggi Pulau Pinang, Ahmad Fuzi turut menganugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada 15 individu dan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) kepada 14 individu yang membawa gelaran Datuk.
Di samping itu, Ahmad Fuzi turut menganugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk kepada 116 individu.
Ahmad Fuzi juga menganugerahkan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Pulau Pinang kepada 888 penerima untuk tahun ini.
Penerima itu merangkumi 66 individu akan menerima Darjah Johan Negeri (DJN); 42 penerima Bintang Cemerlang Negeri (BCN); 195 individu penerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan 287 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
Seramai 274 individu akan menerima Pingat Jasa Masyarakat (PJM) serta 24 individu akan menerima Pingat Bakti Setia (PBS).
Penganugerahan tersebut sebagai menghargai jasa dan sumbangan individu berkenaan khususnya kepada Pulau Pinang.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram