NASI ‘ganja’ Ipoh memang terkenal dan tidak hairan bagi golongan kayangan sanggup menggunakan perkhidmatan helikopter bagi mengambil nasi tersebut di Ipoh untuk dibawa segera ke ibu negara seperti yang tular hari ini.
Namun, dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih dalam Fasa 2, merentas negeri masih lagi aktiviti dilarang.
Justeru, Polis Perak membuka kertas siasatan mengenai sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh, hari ini, untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi kandar.
Ini susulan isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah serta negeri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dilakukan terhadap individu serta syarikat pemilik helikopter terbabit.
Katanya, ini dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan berkenaan isu tular helikopter dari Kuala Lumpur ambil pesanan nasi ganja di Ipoh ini berdasarkan kesalahan melanggar SOP larangan rentas daerah dan negeri terhadap individu dan syarikat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kes meningkat… PKPD dilaksanakan di 16 lokaliti Perak, 13 Sabah, dua Kelantan dan satu Sarawak
Terdahulu media melaporkan, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya mengesahkan sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh antara jam 9.55 hingga 10.15 pagi tadi dan maklumat sudah disalurkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh bagi siasatan lanjut.
“Selepas membuat semakan dengan pihak CAAM Ipoh, helikopter berkenaan didapati hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh namun tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh,” katanya.
Kehadiran helikopter berkenaan yang dinaiki dua lelaki dikatakan membuat penerbangan dari Kuala Lumpur yang mana helikopter itu dipercayai milik syarikat swasta.
Pendaratan helikopter itu di Padang Ipoh mengejutkan orang ramai sebaik apabila didapati terbang rendah sebelum mendarat di lokasi terbabit sekitar jam 9.55 pagi.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

