GARA-GARA ingin memastikan jenazah pesakit Covid-19 yang bakal dikebumikan sudah dimandikan, penduduk sebuah kampung di Jawa Timur, Indonesia nekad ‘melarikan’ jasad si mati dan menguruskan sendiri pengebumiannya dalam satu kejadian kelmarin.
Tidak cukup dengan itu, keranda yang digunakan bagi tujuan pengebumian mengikut protokol kesihatan turut dimusnahkan mereka.
Tribunnews melaporkan, insiden itu yang kini tular di media sosial berlaku di Desa Panji Kidul, mukim Panji, daerah Situbondo, kelmarin.
Video tular itu menunjukkan penduduk termasuk ahli keluarga merosakkan keranda terbabit di sebuah kawasan lapang setelah mengeluarkan mayatnya.
Penduduk termasuk ahli keluarga si mati dirakam terus merosakkan keranda itu dengan kayu dan kerusi hingga hancur.
Ketua Desa Panji Kidul, Budiono mengesahkan kejadian itu dan mendakwa pihaknya sudah melarang tindakan penduduk merosakkan keranda berkenaan.
Katanya, keluarga hanya ingin memastikan apakah jenazah sudah dimandikan atau belum.
“Keluarga almarhum hanya ingin memastikan apakah jenazah sudah dimandikan apa belum,” katanya, hari ini.
Budiono juga telah meminta pihak keluarga dan masyarakat yang terlibat untuk melakukan kuarantin kendiri serta ujian PCR.
“Saya sudah meminta pihak keluarga dan masyarakat yang turut serta mengebumikan jenazah untuk melakukan ujian saringan PCR dan kuarantin kendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Situbondo, Achmad Imam Rifai berkata, jenazah tersebut diambil penduduk secara paksa.
“Kelmarin memang ada pengambilan jenazah Covid-19 secara paksa,” katanya.
Achmad berkata, ahli keluarga si mati memutuskan untuk memakamkan jenazah tersebut di belakang rumah mereka.
Menurutnya, mereka menolak pengebumian secara protokol kesihatan.
“Keadaan menjadi tegang apabila seorang ahli keluarga histeria hingga mengundang simpati penduduk.
“Mereka kemudiannya mengambil jenazah tersebut dan mengebumikannya sendiri tanpa protokol kesihatan,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat mengikut undang-undang kuarantin kesihatan, undang-undang wabak dan penyakit serta KUHP Pidana.

