MESYUARAT Khas Parlimen pagi ini dimulakan dengan pemahsyuran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta semua ketua parti menetapkan kehadiran Ahli Parlimen masing-masing dalam dewan mengikut keputusan mesyuarat Jawatankuasa Dewan Rakyat, Jumaat lalu.
Menurut Azhar Azizan, mesyuarat Jawatankuasa Dewan Rakyat, Jumaat lalu telah memutuskan bahawa tiada had kehadiran manakala waktu persidangan kekal seperti biasa iaitu 5.30 petang.
Namun begitu, kata beliau, keputusan waktu itu dilakukan sebelum ujian saringan yang dilakukan pada hari Rabu dan Jumaat diketahui.
Sehubungan itu, Azhar Azizan berkata, beliau sendiri telah memanggil mesyuarat pelarasan pagi tadi yang turut menjemput Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bagi meminta pandangan.
“Keputusan belum dapat dimuktamadkan untuk kita hadkan jumlah kehadiran pada satu-satu masa dan masa persidangan. Saya masih menunggu persetujuan daripada pihak sebelah sini (pembangkang) mengenai perkara tersebut seperti telah dicadangkan dalam mesyuarat tadi.
“Pada masa ini, keputusan Jawatankuasa Dewan Rakyat, Jumaat lalu masih berkuat kuasa tapi saya meminta sangat daripada semua ketua parti agar kita dapat menggilirkan keahlian dalam dewan setiap jam,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Tak perlu ‘drama Parlimen’, biar soalan dan hujah jadi perhatian
Pada masa sama, Azhar Azizan turut mengesahkan terdapat dua Ahli Parlimen yang positif COVID-19, selain sekurang-kurangnya lima lagi terpaksa dikuarantin kerana menjadi kontak rapat.
Selain itu, jelas beliau, seramai 12 petugas Parlimen turut didapati positif COVID-19 manakala 58 lagi terpaksa dikuarantin.
“Dr. Noor Hisham amat bimbang dengan suasana penularan wabak COVID-19 di Parlimen.
“Itu situasi COVID-19 di Parlimen setakat ujian saringan yang kita adakan pada Jumaat lalu. Untuk itu, saya masih menunggu keputusan mengenai cadangan bagi meminimumkan risiko wabak COVID-19,” jelas beliau.
Azhar Azizan sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pagi ini bagi membincangkan perkara-perkara mengenai penyelarasan urusan sepanjang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ahli-ahli Parlimen lain.
Persidangan Khas Dewan Rakyat dilangsungkan selama lima hari mulai hari ini hingga Isnin depan secara bersemuka dengan kehadiran semua Ahli Parlimen, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

