PATI ancam keselamatan negara,kesejahteraan rakyat

Dari Penulis

Oleh: MUHAMMAD ADI PUTERA

Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kekal menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat negara ini. Kenyataan iTU disambut oleh suara sumbang yang tidak diundang.  Lebih menyedihkan lagi, suara daripada seorang peguam yang cuba membela nasib PATI.

Persoalannya, adakah peguam ini ‘tumpul fikiran’ dalam membuat perkiraan keselamatan dengan mengecam National Task Force (NTF)?

Apa jua dugaan, cabaran, kritikan dan kecaman terhadap NTF namun tidak sedikit pun menumpulkan moral, semangat juang dan kesiagaan NTF dalam mendukung misi dan tanggungjawab yang diamanahkan – Memperkukuhkan kawalan sempadan daratan dan maritim negara daripada pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk pencerobohan PATI.

Suara sumbang peguam tersebut turut mengecam NTF dengan tuduhan liar bahawa NTF tidak berperikemanusiaan terhadap PATI.

Janganlah ada lagi suara sumbang sebegini yang didorong oleh emosi dan publisiti murahan serta tafsiran salah terhadap keutamaan elemen keselamatan negara.

Hakikatnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang merupakan salah satu komponen NTF telah melancarkan Pelan Rekalibrasi PATI sejak 16 November 2020 bagi menyokong pelaksanaan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sekali gus pelan ini bertujuan untuk meregularisasikan PATI di negara ini sebagai pekerja yang sah.

Merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah JIM, sehingga 1 Julai 2021 sekitar 248,083 telah mendaftar untuk menyertai Pelan Rekalibrasi PATI. Selain itu, bagi tempoh 12 Disember 2020 hingga 1 Jun 2021, sejumlah 78,530 daripada 97,891 PATI sudah dihantar pulang ke negara asal mereka.

Majoriti PATI terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan. Syabas dan tahniah NTF terutamanya JIM yang telah berjaya meringankan bebanan negara terhadap kos tanggungan PATI di depoh tahanan di Semenanjung.

NTF secara ringkasnya telah banyak menempah kejayaan dalam memartabatkan maruah negara dengan mempertingkatkan kawalan sempadan. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak menyedari usaha gigih NTF dalam mengukuhkan kawalan sempadan negara.

NTF tidak akan berganjak dan berkompromi terhadap apa jua aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk PATI. Keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa dijulang tinggi dan diutamakan oleh semua agensi keselamatan di bawah payung NTF.

Warga NTF yang mengawal sempadan darat dan maritim negara kekal menjujung keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat melebihi kepentingan peribadi. Mereka tabah menghadapi panas terik dan hujan serta angin kencang tidak terkecuali keganasan ombak di lautan bergelora demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Warga NTF adalah wira negara yang tidak didendangkan malah kita pula dibuai mimpi indah di malam hari sedangkan mereka mengekang mata bagi menghasilkan invincible element – Security.

Marilah kita sama-sama bertekad dan bulatkan azam untuk membantu NTF secara konsisten ke arah menangani pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan. Jangan ada lagi di antara kita yang sanggup bersekongkol dengan aktiviti PATI.

 Jom kita sama-sama menangani rangkaian dan jaringan tekong darat yang merupakan ‘Si Kitol’ yang sanggup menggadai keselamatan negara demi kepentingan peribadi. Biar apa pun dugaan dan cabaran yang mendatang, NTF tetap berpendirian tegas bahawa PATI kekal menjadi ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

*Penulis adalah penganalisis sosial dan keselamatan.Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This