BEBERAPA jam selepas tersebarnya berita bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun supaya tempat duduk beliau ditukar, tersebar pula berita bahawa empat ahli Parlimen UMNO turut berbuat demikian seminggu sebelum dewan bersidang.
Bagaimanapun laporan sebuah portal berita yang menyatakan Azhar tidak membenarkan permohonan keempat-empat ahli Parlimen tersebut dinafikan sekeras-kerasnya oleh beliau dalam kenyataan hari ini.
Azhar menegaskan, beliau tidak pernah menerima apa-apa permohonan daripada Ahli-Ahli Parlimen berkenaan.
‘’Saya anggap berita tersebut adalah satu pembohongan dan fitnah terhadap saya,’’ katanya.
Portal itu dalam laporannya menamakan empat ahli Parlimen yang didakwa membuat permohonan tersebut.
Mereka ialah Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

