kod qr
KAD vaksinasi dengan Kod QR yang digunakan dalam sidang media pada 17 Mac lalu adalah hanya sampel reka bentuk kad vaksinasi untuk ditunjukan kepada wartawan dan jurugambar. - Gambar Internet

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengeluarkan sebarang kad vaksinasi dengn ‘Kod QR’ seperti yang dilaporkan portal Yahoo News dalam berita bertajuk “QR code on “Health Minister’s vaccine badge links to random man’s SoundCloud”.

KKM melalui satu kenyataannya hari ini menyatakan laporan berita itu yang mendakwa bahawa kad vaksinasi tersebut dikeluarkan oleh KKM adalah tidak benar.

“Kad vaksinasi dan QR code yang digunakan dalam sidang media pada 17 Mac 2021 tersebut adalah hanya sampel rekabentuk kad vaksinasi untuk ditunjukan kepada wartawan dan jurugambar,” katanya dalam kenyataan itu.

KKM mengaskan kementerian itu tidak membuat sebarang perolehan kepada mana-mana pihak atau syarikat berhubung pengeluaran kad vaksinasi tersebut.

“Sehubungan itu, KKM menyarankan mana-mana pihak agar tidak berkongsi atau menyebarkan berita tersebut kerana boleh memberi gambaran salah, seolah-olah KKM telah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad vaksinasi.

“Buat masa ini, sijil digital vaksinasi untuk mereka yang telah lengkap dua dos vaksin boleh diakses menerusi aplikasi MySejahtera,” kata kenyataan itu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram