jangan pertikai qada qadar

Tular video berdurasi 50 saat mengenai tindakan seorang lelaki yang dipercayai “influencer” dengan meninggikan suara kepada gelandangan warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur baru-baru ini, sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai dan netizen.

Tindakan lelaki tersebut mempersoalkan kepada warga emas itu menyesal kerana tidak berusaha sewaktu muda sehingga dia menjadi gelandangan dianggap sebagai biadab dan jahil. Apatah lagi dalam Islam akhlak dan adab menyantuni golongan lebih berusia dan menjaga pertuturan adalah satu kewajipan.

Malah mempersoalkan pula qada dan qadar yang berlaku, seolahnya “kalau pak cik ini berusaha waktu muda sudah pasti dia tidak menjadi gelandangan” adalah sesuatu yang dangkal dan melangkaui konsep qada dan qadar Allah.

Oleh sebab itu sebagai umat Islam, apabila berbicara kita hendaklah sentiasa menjaga pertuturan ataupun sebaik-baiknya berdiam diri.

Seperti hadis riwayat Imam Al-Bukhari menyatakan, Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda,

Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam.”

Sebab itulah dalam Islam, kita digalakkan menyebut Insya-Allah, Astaghfirullah, Bismillah, nauzubillah dan lain-lain ucapan yang baik apabila berkata-kata. Seperti firman Allah Taala dalam surah al-Kahfi, ayat 24,

“Kecuali dengan menyebut ‘Insya-Allah’ dan ingatlah pada Tuhan bila kamu terlupa dan berdoalah semoga Allah memberi petunjuk kepada  yang lebih dekat kebenarannya dari ini.”

Insya-Allah bererti  ‘jika Allah menghendaki’. Ini menunjukkan, kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Ia juga menunjukkan bahawa manusia punya rencana, Allah punya kuasa. Dengan demikian, kalimah Insya-Allah menunjukkan kerendahan hati seorang hamba sekaligus kesedaran akan kekuasaan Allah.

Sebutlah perkataan-perkataan yang baik apabila berbicara seperti istighfar, atau berzikir nescaya kita beroleh rahmat dari Allah.

Selain itu, berdasarkan hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah dari Ibnu Abbas r.a,

“Barang siapa tidak henti beristighfar, nescaya Allah akan mengadakan baginya untuk setiap himpitan hidup solusi dan jalan keluar, untuk setiap kepedihan perlepasan dan kebebasan, serta memberinya rezeki secara tidak diduga-duga.”

Apabila melakukan kesilapan atau apabila kita hilang kawalan diri dan berada dalam keadaan lemah ucaplah Astaghfirullah. Menurut hadis dari Abu Daud juga,

Barangsiapa membiasakan diri untuk beristighfar, Allah akan memberikan jalan keluar baginya dari setiap kesulitan.”

Tidak dapat dinafikan ramai yang tahu dan telah menghafal rukun iman. Namun, ramai yang gagal dan terlupa untuk mengadaptasikan rukun iman yang ke enam tersebut dalam kehidupan seharian.

Sebagai manusia yang lemah dan sentiasa bergantung harap kepada Allah, kadang-kala kita akan tergelincir apabila diuji. Dengan sentiasa mengingati rukun iman ke enam ini dan dengan sentiasa beristighfar, insya-Allah tiada lagi ucapan KALAU.

Kehendak Allah melebihi kehendak makhluk

Apabila ditakdirkan suatu musibah atau bencana berlaku, janganlah merasa menyesal dan mempertikaikannya sehingga bibir meremeh-remehkan meludah perkataan kalau. Malah mempertikaikan urusan Allah atau qada dan qadar yang ditetapkan juga boleh menyebabkan syirik. Anggap saja ia adalah ujian daripada Allah S.W.T.

Janganlah didorong sifat putus asa atas suatu perkara atau ujian sehingga boleh melemahkan iman.

Sebaliknya, jadikan ujian itu sebagai satu kekuatan baru untuk menghadapi hari mendatang. Seperti firman Allah dalam surah al-Ankabut: 2-3

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.”

Kesenangan dan kesusahan adalah ujian kepada kita dan jangan sesekali pertikai takdir yang ditetapkan Allah SWT.

Orang-orang yang beriman pasti akan diuji mengikut kehendak Allah. Dan sebagai manusia yang lemah, kita tidak boleh melawan kuasa Allah. Sebaliknya kita haruslah berdoa dan bergantung harap kepada Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh dalam menghadapi sesuatu ujian.

Kesenangan yang kita peroleh hari ini bukanlah bukti menunjukkan Allah sayang pada kita, sebaliknya kesusahan yang kita alami pula adalah tiket Allah benci atau murka pada kita. Tidak sama sekali. Hakikatnya hanya Allah yang tahu, mungkin kesusahan itu sebenarnya adalah asbab sebenar kasihnya Allah pada kita kerana Dia mahu kita sentiasa merintih dan mengingati-Nya.

Dan Dia mahu setiap ujian kesusahan itu menghapus segala dosa kita di dunia agar kita peroleh ganjaran pahala.  

Justeru itu sebagai hamba Allah yang tidak akan pernah lepas dari ujian, kita perlulah redha dengan setiap suratan dan ketentuan Allah Taala. Insya-Allah, sekiranya kita redha dengan segala ketetapan-Nya, Allah juga akan meredai hamba-Nya. Reda Allah itu merupakan ganjaran dan nikmat yang tidak berbelah bagi bagi seorang hamba yang bertakwa.

Paling utama janganlah salahkan qada dan qadar yang telah Allah tentukan dan berikan kepada kita. Belum tentu jika kita lakukan begini akan berhasil begini dan belum tentu jika kita lakukan begitu akan mendatangkan hasil begitu. Apalagi merendahkan dan memperlekehkan nasib seseorang hanya kerana nasib dan kedudukan kita lebih baik dari orang tersebut. Wallahu a’lam

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram