Agong isytihar Proklamasi Darurat 6 bulan di Sarawak, tangguh PRN hingga 2 Februari

Dari Penulis

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Feb tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka berpuas hati darurat besar iaitu wabak COVID-19 yang sedang berlaku telah menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan  Negeri (DUN) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

BERITA BERKAITAN DUN Sarawak kekal berfungsi, pembubaran digantung sehingga Ogos

Memetik Bernama, Warta Kerajaan Persekutuan itu menyebut ordinan berkenaan akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos menurut Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Jan, di mana PRN Sarawak dikehendaki diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

“Dan bahawasanya Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut, beta boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak COVID-19 jika pilihan raya umum diadakan,” titah Seri Paduka dalam warta berkenaan.

Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang itu turut menyatakan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 21 Julai 2021 telah bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak.

“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak yang akan mula berkuatkuasa pada 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022,” kata kenyataan itu.

Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak perlu diisytiharkan untuk menangguhkan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi mengelakkan penularan COVID-19 menjadi lebih serius.

“Dengan Proklamasi Darurat ini, Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal,” kata kenyataan itu. – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Agong titah KP SPRM laksana amanah penuh integriti

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim...

More Articles Like This