YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan dipersembahkan mengenai pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), hari ini.
Dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, taklimat berhubung pelaksanaan akta tersebut telah dipersembahkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi menghadap Sultan Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
“Pelaksanaan ONSA bertujuan menjadikan internet lebih selamat untuk keluarga dan kanak-kanak melalui penetapan tanggungjawab yang jelas kepada platform dalam talian.
“Selain itu, ia berperanan sebagai pelaksanaan mekanisme pengesahan umur untuk hadkan kanak-kanak di bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial bagi melindungi keselamatan kanak-kanak dan juga keluarga,” menurut kenyataan itu.
Fahmi dalam hantaran sama memaklumkan akta itu juga dalam usaha menangani isu akaun palsu yang menyasarkan Raja-Raja Melayu serta Kerabat Diraja.
Hantaran itu turut dikongsikan Fahmi menerusi akaun Facebook rasmi beliau.
Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang bermula 1 Januari, menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.
Selain itu, ONSA terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

