badminton

BEREGU lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya meraih pingat gangsa pertama buat kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menewaskan jaguh Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di Musashino Forest Sports Plaza malam ini.

Harapan membawa pulang pingat gangsa ini menjadi kenyataan apabila Aaron-Soh Wooi menyingkirkan pasangan Indonesia itu dengan kutipan mata 17-21, 21-17 dan 21-14, yang menjadi pingat yang sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia sejak seminggu temasya itu berlangsung.

Image

Sumbangan pingat gangsa buat beregu negara itu sememangnya satu pencapaian yang amat membanggakan kepada pasangan tersebut apatah lagi ini adalah penampilan pertama mereka pada temasya berprestij tersebut.

Selepas tewas di set pertama, pasangan negara berjaya kembali memberikan cabaran kepada pasangan Indonesia untuk memenangi set kedua dan seterusnya mengajak permainan memasuki ke set ketiga.

BERITA BERKAITAN Tewas pada Chen Long, Zii Jia akui tekanan Olimpik sangat berbeza

Di dalam set penentuan tersebut, Aaron Chia-Soh Wooi berjaya mengawal permainan dengan baik sehingga mendorong pasangan Indonesia membuat kesilapan demi kesilapan sehingga akhirnya kemenangan memihak kepada Malaysia.

Aaron dan Wooi Yik menjerit kegembiraan selepas memenangi perlawanan itu sebelum berbaring di atas gelanggang bagaikan tidak percaya dengan kejayaan dicapai.

Kedua-dua mereka juga kelihatan menitiskan air mata kegembiraan semasa meninggalkan gelanggang.

Kemenangan yang diperolehi dalam perlawanan selama 52 minit itu juga membolehkan beregu nombor sembilan dunia itu berjaya membalas dendam ke atas kekalahan 16-21, 19-21 di tangan lawan sama pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Naib Juara Kejohanan Seluruh England (All England) 2019 itu gagal untuk melangkah ke perlawanan akhir selepas dikecewakan beregu China, Li Junhui-Liu Yuchen pada aksi separuh akhir semalam.

Sudah pasti bukan mereka berdua merasai kegembiraan itu tetapi semua rakyat Malaysia juga semestinya teruja meraikan pingat pertama negara dan berharap ia merupakan satu titik permulaan untuk kemunculan  pingat seterusnya daripada kontinjen negara.

Bagi Aaron-Wooi Yok yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, kemenangan ini juga sebagai membalas dendam kekalahan 16-21 dan 19-21 di tangan beregu Indonesia itu semasa pertemuan mereka dalam perlawanan kedua Kumpulan D, Isnin lepas (26 Julai).

Kemenangan ini merupakan kemenangan kedua Aaron-Wooi Yik ke atas beregu Indonesia itu dalam sembilan perlawanan sejak perlawanan pertama mereka dalam Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2018.    

Aaron-Wooi Yik yang mengejutkan beregu pilihan utama, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo juga dari Indonesia, 21-14, 21-17 dalam aksi suku akhir Khamis lepas (29 Julai) gagal mara ke final selepas tewas 22-24, 13-21 kepada beregu pilihan ketiga dari China,  Li Jun Hui-Liu Yu Chen dalam perlawanan separuh akhir, pada Jumaat (30 Julai). – UtusanTV