“Saya akui buat tindakan bodoh” – Suri rumah hina Agong di FB menangis selepas didenda RM9,000

Dari Penulis

SEORANG suri rumah yang didenda RM9,000 kerana membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong melalui laman sosial Facebook miliknya, menangis di Mahkamah Sesyen di sini hari ini sambil mengakui perbuatannya itu adalah bodoh.

Hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhi hukuman itu ke atas Rosmawati Mohd Zain, 46, selepas dia mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui Facebook menggunakan nama profil ‘Rosmawati Mohd Zain’ pada 7.06 malam, 25 Mei lepas.

Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 1.06 tengah hari, 1 Jun lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmawati dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda berkenaan.

BERITA BERKAITAN Lokman dipenjara 1 bulan hina mahkamah kerana ugut saksi

Ketika rayuan, Rosmawati yang tidak diwakili peguam memohon denda ringan atas alasan dia insaf dan menyesal dengan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

“Saya seorang suri rumah dan mempunyai empat anak. Saya terlalu emosi waktu itu. Saya menyesal dan berjanji tidak akan meluah perasaan melalui Facebook. Saya akui, saya buat tindakan bodoh,” rayunya sambil menangis teresak-esak.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 semakin berleluasa. Hari ini sahaja dua kes dituduh. Di dalam kes hari ini, tertuduh membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong iaitu individu yang paling dihormati dalam sistem Perlembagaan,” katanya. – BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kanak-kanak maut terjatuh lepas keluar dari kolam di taman tema air

SEORANG kanak-kanak maut dipercayai terjatuh selepas keluar dari kawasan kolam dalam kejadian di sebuah taman tema air di Sungai...

More Articles Like This