SISTEM perundangan negara tidak pernah menyekat mana-mana pihak untuk mengemukakan pandangan mahupun hujahan berkenaan sesuatu perkara atau pendirian.
Namun begitu, kelebihan tersebut janganlah disalah guna dengan mengeluarkan kata-kata berbentuk fitnah, tanggapan palsu termasuk makian yang boleh memberi kesan kepada subjek dihujahi.
Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan pemerintah atau pemimpin negara kerana implikasi yang bakal dialami adalah sangat besar.
“Kita menasihati agar pengguna supaya berhati-hati apabila menghantar atau memberikan pandangan, kerana mesej yang disampaikan itu dapat dibaca oleh semua pengguna sosial media lain.
“Dan ia merupakan satu kenyataan awam yang tertakluk kepada undang-undang di dalam negara kita ini.
“Perlu juga diingat bahawa perkataan yang kita sampaikan itu walaupun dalam bentuk meluahkan perasaan, ia memberi kesan kepada orang lain lebih-lebih lagi jika melibatkan pemimpin.
“Kita berharap semua pihak termasuk suri rumah yang mungkin mempunyai banyak masa untuk mengendalikan sosial media agar tidak terjebak dalam tindakan yang akhirnya mendatangkan kerugian,” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.
Baca artikel lain: Pemimpin BRICS desak gencatan senjata tanpa syarat di Gaza
Terdahulu, seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada Januari lalu.
Suhaila Abd Halim, 39 selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.
Mengikut pertuduhan, Suhaila secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Hantaran itu dibuat pada 4 Januari dan dilihat pada 5 Januari, kira-kira jam 8.30 pagi di Hospital Sungai Buloh.
Susulan daripada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkukuh pemantauan berhubung kes sedemikian rupa.
Kedua-dua organisasi tersebut juga akan mengambil tindakan terhadap individu menyalahgunakan platform digital untuk mencetuskan kebencian atau menyebarkan kandungan jelik yang boleh menggugat keharmonian negara.
Prof Muhammad Fathi menambah, undang-undang negara memberi ruang yang sangat luas kepada rakyat untuk bersuara atau memberi pandangan namun harus pandai menjaga batasannya agar tidak terbabas.
“Sebenarnya ruang untuk memberi pendapat itu sangat luas tetapi jangan disalahgunakan untuk melepaskan rasa geram sehingga boleh menimbulkan masalah kepada masyarakat,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

