Sebarang langkah politik perlu diketepikan buat masa ini demi keselamatan rakyat dan negara apatah lagi sebarang usaha dalam beberapa bulan akan datang disifatkan kritikal memerangi COVID-19.
Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut meminta semua Ahli Parlimen untuk meneruskan khidmat usaha dengan menjalankan kewajipan dan tugas hakiki dalam bersama melindungi rakyat serta negara.
Pada masa sama, Ahmad Faizal turut meluahkan rasa terkilan dengan gerakan politik dilakukan beberapa Ahli Parlimen semalam yang memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga menyokong penuh kepemimpinan kerajaan yang disifatkan sentiasa menjaga kepentingan rakyat.
“Tatkala rakyat Malaysia terus menderita akibat pandemik COVID-19, masih ada dalam kalangan Ahli Parlimen terbabit meneruskan agenda politik demi kepentingan peribadi.
Baca artikel berkaitan: UMNO tarik balik sokongan kepada Muhyiddin, kerajaan PN – Zahid Hamidi
Muhyiddin tegaskan masih dapat sokongan majoriti di Parlimen
“Ia sekali gus menolak keutamaan kepada sebarang usaha untuk mengurus dan menyelesaikan masalah yang lebih penting dihadapi negara ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, rakyat ternyata telah muak dan bosan dengan senario politik negara.
Lebih mengecewakan, katanya, ada dalam kalangan Ahli Parlimen terbabit sanggup memperjudikan nasib rakyat demi kelangsungan karier politik tanpa sedetik pun mendahulukan kesejahteraan negara dalam menangani pandemik yang melanda.
Jelas beliau, program vaksinasi COVID-19 yang berjalan ketika ini telah terbukti mencapai kepantasan rekod dengan purata 500,000 dos sehari dengan negara juga disifatkan berada di landasan tepat memastikan semua rakyat menerima vaksin menjelang akhir Oktober.
“Kadar kemasukan pesakit ke hospital akan menurun apabila semakin ramai yang mendapat vaksin. Pengorbanan barisan hadapan yang bertugas tanpa henti juga perlu diberi perhatian dalam berdepan waktu yang sukar ini.
“Justeru itu, sebarang usaha untuk beberapa bulan mendatang adalah kritikal bagi memastikan negara terus dilindungi daripada penularan pandemik COVID-19,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

